Peguam Berdosa Bela Pesalah

‘Peguam Tiada Kuasa Tentukan Siapa Salah’ – Menteri Bidas Kenyataan Mufti Perlis

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini memuat naik kenyataan mengenai kerjaya seorang peguam yang menurutnya berdosa jika seorang peguam membela pihak diketahui bersalah dan wang pembayaran yang diterimanya adalah merupakan rezeki yang haram.

“Kerana dosa pelacur antara dia dengan Allah sahaja. Sementara dosa wang guaman yang batil merupakan kezaliman ke atas pihak yang lain,” kata Dr Mohd Asri.

Mufti itu mengatakan Islam melarang mereka melindungi pesalah atau pendosa, sambil menambah adalah berdosa dan haram bagi mereka menerima bayaran perkhidmatan daripada pesalah.

Beliau menegaskan dosa wang diambil daripada pihak yang salah itu lebih buruk daripada hasil pelacuran.

“Jika dia percaya itulah yang benar berdasarkan keilmuannya yang mencukupi pada keyakinannya maka pembelaan itu menjadi pahala untuknya. Sekalipun kemungkinan pada ijtihad orang lain pendapat itu salah.

“Demikian juga kesalahan atau kebatilan. Jika seseorang itu tahu bahawa perkara yang dibela itu salah atau dia percaya tidak benar namun dia tetap membela kerana kepentingan dirinya atau ketaksubannya atau sikapnya yang tidak adil maka dia berdosa,” katanya.

Justeru menurut Dr Mohd Asri, seseorang peguam patut menilai kes-kes yang dia ambil untuk dibela.

Tambahnya, peguam perlu diingatkan bahawa pembelaan perkara batil akan memenangkan pihak diwakili tetapi menzalimi pihak yang ditentang.

Kezaliman tersebut akan dituntut dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Wanita Nama Melayu Isytihar Bukan Islam

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menolak kenyataan Dr Mohd Asri dengan memberi peringatan seseorang itu ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

Beliau menjelaskan sekiranya menerima bayaran dan yuran guaman itu adalah berdosa, maka tiada orang Islam yang mahu menjadi peguam.

Peguam tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, sebaliknya ia ditentukan oleh hakim.

Mahkamah akan menilai bukti-bukti yang dikemukakan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan seseorang itu bersalah atau tidak.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis, FMT