
Peguam Jelaskan Kenapa Tak Ramai Pihak Pendakwa Mewakili Adik Bella Berbanding Peguam Siti Bainun
Isu berkaitan kes penderaan yang dialami kanak-kanak istimewa, adik Bella kembali hangat sejak minggu lalu apabila satu persatu laporan baharu yang diceritakan saksi.
Kes ini difahamkan masih berada dalam siasatan pihak berkuasa tempatan. Bagi yang mengikuti kes, pastinya perasaan bercampur baur terhadap apa yang dilaporkan menerusi media mahupun pihak awam yang berkongsi pengalaman mengikuti kes perbicaraan tersebut.
Lebih-lebih lagi apabila salah seorang peguam yang mewakili pihak pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun memuat naik status memilih untuk mempercayai versi klien dan membiarkan pihak mahkamah menentukan keputusan.
Dalam pada itu, dia juga memuat naik sekeping foto di media sosial yang memaparkan barisan peguam mewakili Siti Bainun.
Tindakan peguam tersebut mendapat kritikan netizen kerana dianggap bersikap tidak profesional dalam mengendalikan kes besar ini.
Perkara ini juga menimbulkan persoalan netizen, walaupun ramai peguam yang dikenali menerusi media sosial memperjuangkan kes Bella tetapi tidak bersama mewakili pihak pendakwaan.
Seorang peguam yang sering mengulas isu tular di media sosial, Nor Zabetha Muhammad Nor tampil memberi penjelasan apabila disoal tiada kehadirannya sebagai pihak pendakwaan.
“Kenapa puan tidak mewakili Bella bersama dengan team pendakwaan? Baru nampak ramai dan kuat”.
Saya terangkan prosedurnya. Ini kes jenayah. Berbeza dengan kes sivil.
Kes sivil menuntut ganti rugi dan lain-lain terhadap dua pihak. Contoh Plaintif tuntut dari Defendan ganti rugi dan injunksi.
Jadi Plaintif yang menuntut diwakili peguam dan Defendan yang dituntut ada peguamnya. Jadi saya boleh wakili salah satu, sama ada Plaintif atau Defendan.
Bagi kes jenayah, memandangkan kesalahan melibatkan kepentingan awam. Perbuatan jenayah ini, kalau ramai-ramai buat maka memberi kesan kepada keamanan negara.
Jadi yang menyiasat kes adalah polis. Kemudian selepas mendapat izin dakwaan, kes akan dimulakan di mahkamah dan yang mewakili itu adalah pendakwaraya.
Siapa itu pendakwaraya? Mudah kata, bahasa mudah hendak faham iaitu Peguam Negara. Peguam Kerajaan. Mereka bukan peguam swasta. Mereka memang dilantik untuk mewakili pertuduhan dan prosiding di mahkamah jenayah untuk memastikan tertuduh dihukum secara penjara atau denda bagi memastikan keamanan dalam masyarakat.
Jadi dalam kes Bella, contoh peguam Tuan Mahmud Jumaat yang banyak membantu dan memperjuangkan kes Bella dari awal, bukan kami tidak mahu membantu di mahkamah sama-sama mewakili kes Bella terhadap tertuduh tetapi kami tidak boleh. Kami bukan pendakwaraya.
Perlu faham juga, kenapa pendakwaraya tidak update di media sosial tentang kes? Sebab etika dan sebab mereka terikat dengan peraturan.
Jika gagal mematuhi peraturan, tindakan displin boleh diambil terhadap mereka. Kita semua pun tahu, larangan penjawat awam.
Kalau disuruh sebenarnya nescaya kami buat tetapi tidak boleh. Jangan salah faham, bukan tidak mahu mewakili. Kalau boleh itu, saya rasa bersusun peguam-peguam lain yang menyokong kes ini.
Jadi kami peguam-peguam yang bersama Bella, akan sentiasa berikan nasihat dan sokongan.
Bagi tertuduh pula, mereka diwakili oleh peguam yang dilantik dan bersetuju untuk mewakili.
Begitu rupanya, semoga kes ini menang dipihak yang benar.
Sumber: Facebook Nor Zabetha
Trending now



