
Peguam Ini Jelaskan Mengapa 6 Tertuduh Kes Zulfarhan Hanya Dikenakan Hukuman Penjara 18 Tahun, Bukan Gantung Sampai Mati
Peguam ini jelaskan mengapa enam tertuduh kes Zulfarhan hanya dikenakan hukuman penjara 18 tahun.
Semalam selepas empat tahun, mahkamah akhirnya memutuskan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Terlepas daripada sabitan dan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh, enam tertuduh disabitkan bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Kesemua tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun.
Untuk yang lupa enam budak sial bersalah! #302kk #zulfarhan pic.twitter.com/xNJjbvS4rX
— A.H (@achmadhud) November 2, 2021
Manakala hukuman tiga tahun penjara terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya yang didapati bersalah mencederakan mangsa.
Kesemua tertuduh kini berumur 25 tahun.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa hukuman yang diberikan kepada tertuduh yang membunuh Zulfarhan cuma 18 tahun?
Menurut seorang peguam, Zee How Tai atau lebih dikenali sebagai Apek Cina tampil menjawab persoalan yang diajukan netizen yang membezakan kes ini dengan kes seorang model sambilan, Ng Pei Ven yang memandu secara melawan arus.
Menurut How Tai, dalam perundangan jenayah secara am, pendakwaraya haruslah membuktikan dua intipati utama iaitu mens rea (niat untuk melakukan kesalahan) dan actus reus (kelakuan kesalahan).
Ng disabitkan hukuman di bawah Seksyen 41 Akta Jabatan Pengangkutan Jalan manakala enam tertuduh kes Zulfarhan disabit di bawah hukuman Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Kedua Seksyen ini melibatkan cuai, tetapi dengan bahasa mudahnya, niat antara kedua kes ini berbeza.
Sebagai contoh, Ng tidak berniat untuk mencederakan sesiapa tetapi memandu secara melawan arus adalah cuai yang menyebabkan kematian.
Manakala enam tertuduh memang mempunyai niat untuk mencederakan Zulfarhan, tetapi tiada niat untuk membunuh. Mereka melakukan kesalahan berkenaan dan menyebabkan kematian.
Sekiranya terbukti ada niat untuk membunuh, maka kesemua akan disabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Formula mudah faham daripada How Tai:
Kes basikal lajak (Sam Ke Ting):
Tiada niat untuk mencederakan dan tiada kesalahan lain tetapi menyebabkan kematian = Tidak bersalah.
Kes memandu secara lawan arus (Ng Pei Ven):
Tiada niat untuk mencederakan tetapi menyebabkan kematian atas kesalahan yang lain = Cuai. Hukuman lebih ringan.
Kes pelajar UPNM
Ada niat untuk mencederakan dan menyebabkan kematian = Hukuman lebih berat.
Kes bunuh Sosilawati
Ada niat untuk membunuh dan menyebabkan kematian = Hukuman gantung sampai mati.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut UPNM pada badan Zulfarhan menjadi punca kematiannya, namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.
Tertuduh pertama, kedua, keempat dan kelima mengaku menekap hanya sekali atau dua kali manakala tertuduh ketiga mengaku tidak menekap namun tertuduh keenam dan seorang saksi pendakwaan melihat tertuduh ketiga turut melakukan perkara yang sama.
Hakim Datuk Azman Abdullah berkata tiada keterangan kukuh menunjukkan bahawa terdapat individu lain menekap seterika ke badan Zulfarhan selain kelima-lima tertuduh yang secara niat bersama melakukan perbuatan berkenaan.
Kesan luka lecur adalah pada kategori tahap satu, dua dan tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki termasuklah bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, peha dan buku lali.
Dalam satu kenyataan, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros meluahkan kemaafan kepada semua tertuduh yang menyebabkan kematian anaknya walaupun hatinya berat untuk berbuat demikian.
Namun kerana tidak mahu memutuskan silaturrahim akibat kejadian ini, Zulkarnain meluahkan rasa terkilan kerana hanya satu keluarga sahaja yang datang berjumpa beliau untuk memohon maaf dan meminta masyarakat agar tidak menjadi pembuli kerana kesannya boleh dilihat pada keluarga beliau yang kehilangan anak yang menjadi harapan keluarga.