
Patriot vs Tali Barut: Pertembungan Dua Kumpulan Berbeza Di Malaysia
Tidak dinafikan, kehadiran filem Mat Kilau berjaya membangkitkan ‘semangat pahlawan’ yang berada di dalam jiwa rakyat Malaysia dalam menentang kuasa jahat dan ancaman penjajah.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia kini dikejutkan pula dengan satu lagi anasir jahat yang semakin lantang berani menghina Islam dan menggugat keharmonian negara.
Dengan bangganya kumpulan ini dengan riak dan angkuh turut mendakwa bahawa mereka telah mendapat sokongan dari negara luar serta berupaya dengan mudahnya mengumpul dana untuk wang jaminan.
Seorang peguam, Lukman Sheriff di laman Facebooknya telah menulis mengenai kumpulan liberal ini yang dilihat semakin membimbangkan pada hari ini.
Dua dunia berlainan
Jelas dalam Malaysia ini ada dua kumpulan bertentangan besar. Satu terdiri dari kumpulan besar yang telah berjaya melonjakkan wayang Mat Kilau sehingga mendapat kutipan RM90 juta. Sepertimana maklum wayang ini berkisar perjuangan penduduk setempat yang terdiri dari kaum Melayu/Muslim dalam penentangan terhadap British.
Satu lagi pula kumpulan kononnya mendukung kebebasan hak bersuara “menghina” Islam. Mereka ini dengan mudah berjaya mengumpul dana RM40,000 untuk menjamin pasangan yang sengaja “offend”/hina Islam.
Beza kedua-dua ini sungguh ketara. Bagi kumpulan pertama, sumbangan dari kumpulan ini adalah dari titik peluh tangan warga tempatan. Bagi kumpulan kedua didokong oleh kumpulan liberal di bawah naungan Lawyers For Liberty (“LFL”). Mereka ini dengan bangga mengumumkan mereka dengan senang mendapat sokongan dan sumbangan dari luar negara. Sepertimana maklum, LFL ini selalu mendapat sogokan wang dari NED. US selalu menggunakan NED untuk menyogok NGO-NGO tempatan supaya mengajukan kepentingan US atas dasar kononnya demokrasi dan human rights.
Satu menyokong perjuangan berteras Islam. Satu lagi mempertahankan dan mendokong mereka yang menghina Islam.
Satu patriot. Satu tali barut.
Ini resepi pertembungan besar kelak terutamanya di mahkamah. Sekarang ini pelbagai kes “strategic litigation” telah dibawa ke Mahkamah Sivil bagi mencabar undang-undang shariah dan satu demi satu kes shariah yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan kita kalah teruk. Tidak mustahil satu hari nanti bidang kuasa jenayah shariah akan lenyap dek cabaran ini. (Sila lihat posting lepas)
Kebebasan bersuara kita mesti ada had. Tidak berapa lama dahulu cadangan akta harmoni kita cuba membenarkan sesiapa sahaja mengutuk dan mencerca mana-mana agama, nabi dan tuhan atas dasar kebebasan bersuara selagi mana kita tidak menggunakan keganasan. Kita telah tentang keras hak asasi dan bersuara acuan liberal ini. Dan kita mesti terus tegas menolak hak asasi acuan liberal ini. Kalau tidak huru-hara negara kita dek kebebasan bersuara ini.
Adalah penting bagi keamanan negara, kita tuntut transparency ke atas NGO-NGO ini. Sudah tiba kita kawal penerimaan dana luar NGO-NGO tempatan yang menjadi wadah/saluran bagi kepentingan kuasa luar.
BACA: Melampau! Ada Golongan Buta Sejarah Samakan Perjuangan Mat Kilau Dengan Chin Peng?
Sumber: Facebook Lukman Sheriff