Rohingya Pulau Sempadan Masuk Malaysia

PATI Rohingya Bersembunyi Di Pulau Sempadan Sebelum Masuk Malaysia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Peratusan pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyusup masuk ke negara ini melalui laut adalah sangat tinggi berikutan sempadan perairan negara hanya 2.5 batu nautika dengan pulau di sempadan Thailand.

Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Abd Hamid Ali berkata ini berikutan pulau negara jiran yang terdekat dengan perairan negara adalah antaranya Pulau Tarutao, Koh Lipe dan Pulau Koh Adang.

“Pulau-pulau berkenaan mempunyai persempadan negara yang kecil dari Pulau Langkawi dan pulau ini dipercayai menjadi tempat mereka berselindung sebelum menceroboh masuk ke perairan negara ini.

Justeru, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin sentiasa bertugas siang dan malam bagi mengawal sebarang pencerobohan.

Memetik laporan Benar News, tentera Laut Thailand menegaskan bahawa kapalnya gagal mengesan sebuah bot yang dikatakan membawa ratusan pelarian Rohingya selepas Ketua Pengawal Pantai Malaysia mendakwa bot itu berada di kawasan perairan Thailand dan telah beberapa kali dihalang memasuki wilayah Malaysia.

“Tentera Laut hanya mengetahui tentang bot yang membawa pelarian Rohingya berada dalam wilayah perairan Thailand dari laporan berita. Malaysia tidak menghubungi kami untuk memaklumkan mengenai kehadiran bot itu di sana,” kata jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand Laksamana Muda Prachachart Sirisawat kepada Benar News pada Jumaat (12 Jun).

Kesukaran mengekang penyeludupan PATI kerana didalang rakyat tempatan

Ditanya mengenai cabaran dalam mengekang kemasukan PATI, Abd Hamid berkata antara cabaran besar adalah keterlibatan orang awam yang menjadi dalang kegiatan penyeludupan PATI etnik Rohingya.

“Dalam menentukan keselamatan perairan negara ini terjamin sepenuhnya, pihak kami bekerjasama dengan komuniti maritim yang sentiasa melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada kemasukan PATI di perairan negara.

“Sebelum ini, beberapa kes kemasukan PATI di perairan negara berjaya dihalang atas makluman awal komuniti maritim,” katanya.

PATI Rohingya

Dalam pada itu, pihak berkuasa sedang mengawasi tekong darat dan laut yang terbabit secara langsung atau bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

Sementara itu, tangkapan 269 warga Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, dilaporkan ujian saringan COVID-19 terhadap mereka didapati negatif.

Sumber: Bernama