
Pasangan Beli Kediaman ‘The Conjuring’ Akui Rumah Itu Memang Berhantu
Setiap orang pasti akan teruja dan tidak percaya apabila dapat membeli sebuah rumah yang diidamkan.
Begitu juga dengan pasangan ini tetapi keterujaan itu bukanlah disebabkan rumah yang dibeli mewah dan indah tetapi mempunyai kisah mistik tersendiri.
Rumah ladang yang menjadi lokasi penggambaraan filem seram The Conjuring di Rhode Island, Amerika Syarikat ini telah dibeli oleh sepasang suami isteri yang berani dari Mexico.

Pasangan Cory dan Jennifer Heinzen yang merupakan penyelidik paranormal sejak 10 tahun lalu mengakui mengalami gangguan misteri dan kejadian aneh selepas membeli rumah ladang tersebut.
“Kami membeli rumah ladang ini meskipun tahu ia memiliki sejarah yang gila. Persekitarannya nyata mempesonakan dan amat tenang, malah siap dengan sungai di bahagian belakang rumah serta sebuah kolam.
“Kami langsung jatuh cinta kepada rumah itu. Selain itu, sejarah keluarga Warrens menguatkan lagi minat kami untuk memiliki kediaman ini,” katanya.
The Conjuring merupakan sebuah filem seram yang ditayangkan pada tahun 2013 dan berdasarkan kisah benar. Ia mengisahkan tentang penyiasatan paranormal untuk membantu keluarga Perron (lakonan Ron Livingston dan Lili Taylor) yang mengalami peristiwa mistik di rumah mereka di Harrisville, Rhode Island pada tahun 1971.
Hampir dua bulan menetap di rumah itu, Cory mengakui berdepan gangguan misteri dan keadaan mulai seram. Mereka pernah terdengar bunyi suara-suara pelik, hentakan kaki dan ketukan di sekitar rumah selain daun pintu terbuka dan tertutup dengan sendirinya.
Bagaimanapun, mereka masih enggan meninggalkan rumah itu yang dibeli pada Jun lalu. Jennifer tetap optimis tentang projek mereka untuk membuka rumah berkenaan kepada penggemar paranormal.
“Kami merancang untuk melestarikan sejarah rumah ini sebelum membukanya kepada pengunjung dan penyelidik paranormal hujung tahun ini,” katanya.
Bagi penggemar aktiviti paranormal, mungkin boleh alami suasana ‘seram’ dalam rumah ini nanti apabila mereka buka kepada umum.
Sumber: Sun Journal