Pas Tanpa Had AirAsia Berbaloi

Pas Tanpa Had AirAsia RM399: Ini Perkara Yang Perlu Dipertimbang Sebelum Membeli

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Rata-rata kaki travel pasti sudah mengetahui mengenai tawaran AirAsia Pas Tanpa Had baharu dengan harga RM399, lagi ‘gatal kaki’ untuk berjalan memandangkan sudah diberi kebenaran merentas negeri di seluruh Malaysia oleh kerajaan.

Tawaran ini melibatkan 16 destinasi menarik di Malaysia iaitu Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

BACA: AirAsia Tawar Pas Tanpa Had Baharu Untuk Destinasi Domestik

Dengan galakan yang diberikan kerajaan kepada rakyat untuk melancong bari merancakkan kembali ekonomi pelancongan domestik, pastinya ramai tidak sabar untuk mencari destinasi terbaik dalam tempoh tersebut.

Namun, adakah tawaran ini berbaloi untuk dibeli? Sekali pandang, sememangnya amat menarik tetapi perlu bijak sebelum terus membuat pembelian.

Banyak hal yang perlu anda pertimbangkan sebelum membeli pas tanpa had AirAsia ini:

1. Pas Tanpa Had tapi penerbangan terhad

Jika baca terma dan syarat AirAsia, kemungkinan besar tiada tawaran untuk guna pas tanpa had ini untuk tarikh permintaan tinggi seperti hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.

Ia berdasarkan syarat iaitu, penebusan tanpa had hanya sah untuk penerbangan bertanda ‘Diskaun 100%’. Setiap kod promo di bawah pas boleh ditebus untuk penerbangan pergi dan balik, namun bergantung pada ketersediaan tempat duduk.

Contohnya, sekiranya anda ingin membeli tiket balik dan tempat duduk tidak tersedia untuk penerbangan balik (tidak bertanda ‘Diskaun 100%’), pas tanpa had ini hanya layak untuk satu perjalanan sahaja. Anda perlu membayar tambang penuh seperti biasa.

Pas Tanpa Had AirAsia Berbaloi

Tambahan pula, penebusan penerbangan tanpa had adalah terhad dan tertakluk pada ketersediaan tempat duduk. Pas Tanpa Had tidak menjamin ketersediaan tempat duduk dalam penerbangan tertentu. Jadual penerbangan boleh berubah tanpa notis atau tanggungjawab kepada pemegang pas.

2. Tak bermaksud anda tak perlu keluar wang

Anda harus ingat, Pas Tanpa Had bukan bermaksud anda tidak perlu bayar apa-apa untuk tiket penerbangan. Anda hanya dikecualikan bayaran tambang asas, namun tetap kena bayar caj tambahan lain seperti untuk caj perkhidmatan penumpang dan sebagainya.

Selain itu, pas ini tidak boleh menempah dua destinasi pada hari dan tempat berlepas yang sama. Penebusan hanya berlaku untuk laluan ‘point to point’ dan tidak termasuk laluan FLY-THRU, maksudnya JB-Penang boleh tapi JB-KL-Penang tak boleh.

Jika maksimum 3 kali ‘no shows’, pas tanpa had anda akan terus terbatal. Kena berhati-hati nak tempah dengan pastikan cuti anda lulus kalau tidak, lebur begitu sahaja tiket anda.

Buat pemegang akaun BIG MEMBER yang suka kumpul mata, malangnya tiada mata ganjaran diberikan untuk pembelian menggunakan pas ini.

Jadi, rancang pembelian pembelian anda sebaiknya sama ada berbaloi atau tidak untuk menggunakan Pas Tanpa Had ini.