
Park Seo Joon Dilapor Bakal Bintangi Dalam Sekuel ‘Captain Marvel’
Adakah Park Seo Joon bakal menjadi pelakon Korea Selatan seterusnya untuk menyertai projek Marvel Cinematic Universe (MCU)?
Pelakon Park Seo Joon dilaporkan bakal membintangi bakal membintangi filem The Marvels dan bergandingan dengan Brie Larson yang memegang watak Captain Marvel.
Menurut Star News, baru-baru ini bintang Itaewon Class itu baharu selesai menjalani penilaian dalaman serta perbincangan selepas mendapat tawaran menyertai filem sekuel Captain Marvel.
Beliau dijangka bakal berangkat ke Amerika Syarikat (AS) sekitar Julai nanti untuk memulakan penggambaran filem berkenaan.
Ditanya mengenai pengesahan penglibatan aktor itu kepada agensi pengurusannya Awesome ENT, bagaimanapun tidak memberi sebarang jawapan sekali gus menjadi teka-teki watak yang bakal dilakonkan Seo Joon.
Difahamkan, The Marvels arahan Nia DaCosta dijadualkan tayangan pada 11 November tahun depan.
Terdahulu, pelakon terkenal Korea Selatan, Ma Dong Seok dinamai dalam barisan pelakon filem Marvel, The Eternals bersama-sama Angelina Jolie, Selma Hayek dan Richard Madden.
Sejak 2008, Marvel Studios telah menakluk dunia dengan filem adiwira mereka di bawah projek MCU.
Dunia filem adiwira mereka dimulakan dengan filem Iron Man lakonan Robert Downey Jr. dan sehingga kini sudah lebih 20 buah filem MCU telah ditayangkan kepada dunia.
Filem di bawah MCU juga turut dikenali sebagai filem yang melonjakkan nama-nama pelakon mereka menjadi pelakon A-list di Hollywood termasuk Chris Evans, Chris Pratt, Zoe Saldana dan ramai lagi.
Sumber: Allkpop
Trending now



