SUKE Suka

Papan Tanda SUKE Akhirnya Diturunkan, Orang Ramai Suka Hati

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Susulan dari maklum balas dan rungutan orang ramai di media sosial, papan tanda viral yang dikatakan terlalu kecil di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akhirnya diturunkan serta-merta.

Memetik dari laporan Sinar Harian, Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerusi anak syarikatnya, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd dikatakan telah membuat satu kenyataan berhubung perkara tersebut.

Menurut kenyataan itu, papan tanda berkenaan dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang, manakala sebagai inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat, satu lagi papan tanda tambahan turut dipasang di tengah-tengah cabang simpang di atas papan tanda arah.

Oleh sebab kekangan kawasan, saiz papan tanda tambahan digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada.

Walau bagaimanapun, susulan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini, pihak syarikat memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta-merta agar tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan.

Papan tanda yang dipasang di SUKE itu juga sebenarnya masih lagi disahkan mengikut piawaian ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

SUKE Suka

Langkah pantas bertindak yang ditunjukkan oleh syarikat tersebut yang sudi menerima pandangan dan maklum balas pengguna mendapat pujian orang ramai di laman Facebook rasminya.

Orang ramai yang menerima berita positif tersebut turut suka hati lebih-lebih lagi SUKE yang dibuka kepada orang ramai sejak 16 September lalu kini masih lagi percuma untuk digunakan selama sebulan.

Meskipun begitu, bagi mengelak dari berlaku kemalangan seperti yang dilaporkan melibatkan sebuah kereta dan motosikal baru-baru ini, orang ramai diingatkan agar tidak berhenti di lorong kecemasan untuk sesi OOTD yang merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM300.

Sebelum ini, pembinaan SUKE membuatkan orang ramai risau kerana telah menyebabkan tiga individu maut manakala seorang lelaki parah dalam kejadian struktur besi kren terjatuh di tapak pembinaannya yang terletak berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras.

BACA: Baru Dibuka Tak Sampai 2 Minggu, Jalan Tertinggi Di Malaysia Ini Dah Dipenuhi Dengan Sampah Sarap

Sumber: Sinar Harian