Panduan Hutang

Panduan Untuk Usahawan Muda Membebaskan Diri Dari Belenggu Hutang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dalam menempuhi liku-liku dan cabaran dalam bidang perniagaan, pastinya khidmat nasihat dan bimbingan dari mereka yang lebih berpengalaman atau dari ‘otai’ amatlah dialu-alukan.

Bagi usahawan muda yang sedang stres dan masih lagi tercari-cari bagaimana caranya untuk keluar dari fasa hutang keliling pinggang, kontraktor terkemuka Mahanom Mohammad dari Emartech Resources Sdn Bhd telah menggariskan langkah-langkah berikut di Facebooknya yang boleh dijadikan sebagai panduan.

Terima kasih, Puan Mahanom Mohammad!

Panduan Hutang

Ada anak muda mesej, sedang dalam fasa terduduk.

Tersilap catur dalam pelan perniagaan akhirnya menjerat hutang keliling pinggang.

Rasa stress, rasa down, rasa penat kerana setiap hari perlu bekerja untuk mencari wang bagi membayar hutang-hutangnya.

Dia bertanya saya bagaimana saya hadapinya kerana ada perasaan bersalah terpaksa bekerja keras hingga tiada masa untuk anak-anak dan keluarga.

Semasa saya terduduk, anak-anak masih bersekolah rendah.

Saya senaraikan semua hutang-hutang yang ada. Berazam kuat untuk membayarnya. Setiap hari saya berdoa agar Allah angkat semua bebanan hutang ini kerana hutang amat membebankan emosi.

Saya juga berdoa agar kehidupan mereka Allah mudahkan agar hutang-hutang saya pada mereka tidak membebankan mereka menguruskan kehidupan harian mereka.

1) Jangan lari dari hutang. Senaraikan dan buat pelan untuk membayarnya. Saya selalu amalkan doa yang Rasulullah berikan pada sahabatnya. Insya-Allah dengan keazaman mahu membayar, kerja bersungguh untuk membayar hutang dan berdoa pada Allah agar kita dapat membayarnya dengan segera.

2) Saya kurangkan kos belanja. Bibik saya berhentikan. Dari tiga kereta, jadi satu. Kredit kad saya potong segera sebab inilah hutang paling jahat sekali. Membership atau apa sahaja langganan ke kelab golf, gym semuanya saya potong.

Jangan malu atau rasa kawan kawan akan pandang rendah pada kita.

Jika mereka mula melihat kita sebelah mata, bersyukurlah kerana ini semua kawan kawan masa senang sahaja. Tak layak pun menjadi kawan kawan.

Saya potong belanja yang tidak penting supaya saya dapat fokus untuk membayar benda yang wajib dahulu.

3) Dahulu, ketika saya jatuh, pasaran yang paling stabil sekali untuk berniaga adalah pasaran kerajaan, kerana payment confirm akan dapat.

Cuma cabaran dalam pasaran kerajaan adalah kita perlu bersaing dengan mereka yang ada kabel, atau dua tiga lesen. Waktu itu sudah ada kartel yang kepung harga tapi jumlahnya tidaklah besar. 1 kartel pun kadang main 5-10 lesen sahaja.

Lalu saya masuki pasaran ini dengan game berbeza. Saya rasa kamilah trend setter yang menggunakan pendekatan win the comittee with your envelope. Sehinggakan bila peti tender dibuka, komitee sudah boleh agak, envelope ini mesti Emartech yang punya.

Tapi semuanya bukan rahsia lagi sebab saya sudah kongsikan rahsianya dalam kelas-kelas tender.

Pendekatannya adalah always be a game changer.

4) Tender dan sebutharga yang dapat memenangi komiti dari segi kewangan dan teknikal pun tiada guna jika kita tidak tahu mengira ratio leads kita.

Waktu itu, ratio leads kami adalah 1:30. Bermakna bagi setiap 30 tender atau sebutharga yang disertai, barulah dapat 1 kerja.

Bermakna sekiranya kami perlu dapat sekurang-kurangnya 10 kerja @ minima RM200k setiap satu, maka saya terpaksa menyertai 30 x 10 = 300 sebutharga yang perlu disertai untuk mendapatkan total projek RM2 juta dan anggaran untung bersih RM100k.

Ya, kami kerja 18jam sehari untuk sertai 300 sebutharga dan tender dengan hanya 1 lesen sahaja.

Masuk ofis pukul 7 pagi dan balik 3 pagi. Anak-anak adakala ikut sekali duduk ofis kerana tiada siapa yang menjaga di rumah sampai tertidur di pejabat.

5) Berkorban, terlalu banyak yang kami perlu korbankan semasa fasa bangkit semula.

Ketika kawan kawan membawa anak anak mereka bercuti, kita hanya mampu bawa anak anak menonton TV di rumah.

Kalau saya nak cerita semua pengorbanan dan kesusahan yang perlu dilalui ketika itu, memang tak habis menulis 100 hari.

Ada pengorbanan yang boleh buat saya tertawa seperti saya pernah menyergah ‘entiti’ yang cuba menakutkan saya yang keseorangan di pejabat pukul 2 pagi.

Ada pengorbanan yang boleh buat saya menangis sendiri seperti disindir dan diperli oleh mereka yang kita sangka dapat membantu kita.

Dan antara pengorbanan terbesar yang perlu kami lalui adalah mengorbankan masa dengan anak-anak. Berapa banyak kali saya bawa anak-anak ke lawatan tapak. Berapa banyak kali kami perlu bawa mereka ke kedai hardware. Berapa banyak kali kami perlu bawa mereka ke tapak kerja.

6) Adakah pengorbanan ini berbaloi? Sekiranya ia mampu membuahkan hasil yang kita inginkan. Dapat memberi kita projek yang mampu membantu membayar hutang-hutang. Dan dapat membantu kita bangkit semula dari kejatuhan, maka jawapannya – ya segala pergorbanan itu berbaloi.

Setelah selesai semua masalah nanti, luangkahlah masa dengan anak-anak dalam waktu yang lebih berkualiti.

7) Bila kita hendak bangkit semula, usahakan untuk membuat pelan perniagaan baharu dengan strategi yang pemain lain tidak gunakan di pasaran yang kita cadang hendak bermain.

Usahakan untuk jadi trend setter atau game changer. Carilah guru untuk belajar ilmu strategi.

Benda yang sama saya lakukan 6 tahun dahulu apabila mahu memasuki pasaran perumahan. Menjadi content creator dan mengeluarkan banyak marketing content ketika belum ada kontraktor lain melakukannya. Hari ini, setiap minggu ada sahaja kerja yang saya terpaksa tolak dan beri pada kawan-kawan kerana tidak menang tangan.

Bisnes tanpa pelan dan strategi yang mantap akan buat kita rasa down sahaja, tiada cabaran, tiada thrill dan hasilnya macam gitu sahajalah, menghambarkan dan cukup-cukup makan.

Kemudian lakukan pengorbanan. Allah Maha Adil. Dia sentiasa bersama kita dalam setiap kesusahan.

Pergorbanan yang betul, insya-Allah berbaloi.

Panduan Hutang

BACA: Berjaya Langsaikan Hutang RM300K! – Kisah Penuh Inspirasi Untuk Mereka Yang Putus Asa

Sumber: Mahanom Mohammad