
Palestin Dikhianati, UAE Dan Israel Umum Perjanjian Damai
Hari ini dalam sejarah, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membuat pengumuman mengejutkan mengenai perjanjian damai antara Israel dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Pengumuman itu menjadikan UAE negara Teluk Arab pertama serta yang ketiga, selepas Mesir dan Jordan, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Kata Trump, langkah mengembalikan hubungan antara UAE dan Israel itu adalah ‘perkembangan besar dan menyifatkannya sebagai ‘perjanjian damai bersejarah di antara dua rakan baik’.
Kesepakatan itu juga sebagai langkah mencegah pemilikan paksa Israel terhadap sejumlah besar wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Kenyataan bersama Amerika Syarikat (AS), UAE dan Israel mengatakan kejayaan hubungan ‘diplomatik bersejarah ini akan mengukuhkan lagi keamanan di rantau Timur Tengah dan menjadi bukti kepada diplomasi serta visi berani ketiga-tiga pemimpin.’
Tiga pemimpin itu merujuk kepada Trump, Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed al-Nahyan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
AS, Israel dan UAE yakin mungkin ada pemulihan hubungan diplomatik dengan negara lain selepas ini dan akan bekerjasama untuk mencapai tujuan ini.
Pengkritik berpendapat bahawa Israel berusaha untuk mempercepat langkah berkenaan sebelum pemilihan Presiden AS pada November ini.
Perjanjian itu satu pengkhianatan – Palestin
Palestin tidak mengiktiraf perjanjian damai antara Israel dan UAE. Penasihat kanan kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh berkata, ia dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan perjuangan rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Israel melancarkan serangan menyasarkan kedudukan tentara Hamas di Semenanjung Gaza beberapa jam selepas pengumuman Trump.
Langkah itu termasuk sekatan bahan api ke Gaza sebagai tindak balas belon api diterbangkan dari wilayah Palestin ke kawasan dikuasai Israel.
Walaupun menandatangani perjanjian damai itu, Israel tetap mahu meneruskan rancangannya untuk memperluas wilayahnya dengan membina lebih banyak penempatan Yahudi di Tebing Barat. Cumanya, buat masa ini ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19.
Sumber: FMT