Pakar Ramal Malaysia Gelombang Kedua COVID-19

Pakar Ramal Malaysia Mungkin Alami Gelombang Kedua COVID-19

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Arahan kerajaan Malaysia baru-baru ini yang menukar status daripada sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara telah membimbangkan Energesse, penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan antarabangsa yang berpangkalan di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Dr Avnesh Ratnanesan mengingatkan bahawa gelombang kedua COVID-19 mungkin berlaku dan ternyata lebih mencabar dan menganggu corak perniagaan dan sosial dengan kelonggaran PKP di seluruh negara.

“Pendekatan yang longgar juga akan memberi kesan kepada petugas penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan, yang kebanyakannya telah menghadapi tekanan sejak lapan minggu yang lepas dengan PKP,” kata Dr Avnesh, seorang warganegara Malaysia dan penduduk tetap Australia.

Dr Avnesh menyediakan kaedah dan khidmat nasihat kepada perkhidmatan kesihatan Australia mengenai pengurusan pandemik ini dengan lebih berkesan.

Jelasnya, langkah kerajaan untuk membenarkan kembali bekerja mulai 4 Mei, tahap pengurangan yang dilakukan adalah terlalu cepat berikutan negara lain kini bergelut dengan gelombang kedua disebabkan kerajaan berpuas hati dengan menganggap bahawa mereka dapat mengendalikan dengan baik gelombang yang pertama.

Dr Avnesh mencadangkan kerajaan Malaysia untuk menggunakan lebih banyak data, model dan malah algoritma berasaskan AI untuk memaklumkan dan membantu membuat keputusan mereka, berbanding pendapat yang subjektif daripada individu yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran kesihatan awam jangka pendek dan jangka panjang serta pemboleh ubah ekonomi yang terlibat.

Pakar Ramal Malaysia Gelombang Kedua COVID-19

Seperti di Australia, mereka membangunkan peralatan digital dinamakan PMme (Pandemic Management for me). PMme adalah alat sokongan keputusan dan audit yang disesuaikan untuk Ketua Pegawai Eksekutif penjagaan kesihatan dan pengarah di hospital dan perkhidmatan kesihatan.

Alat tersebut membantu organisasi kesihatan mengenal pasti jurang dan kekuatan mereka terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Ia juga membantu mereka memantau dan meningkatkan kemajuan mereka dari semasa ke semasa dalam menguruskan sumber yang terhad dengan berkesan.

“Kerajaan perlu mengimbangi campur tangan jangka pendek PKP dan impak jangka sederhana yang timbul dari tempoh kuarantin selama lebih lapan minggu,” katanya.

Terdahulu, kerajaan menegaskan pendekatan yang digunakan dalam mendepani jangkitan COVID-19 berbeza dengan pelaksanaan di Hokkaido, Jepun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan Malaysia akan mengikut jejak Hokaido yang dilanda gelombang kedua susulan keputusan negara itu menamatkan perintah berkurung lebih awal.

Sumber: HM