
Pakar Nasihat Waspada Beli Baby Nanas, Bimbang Ada Pemanis Tiruan Bahaya
Terdapat banyak inovasi yang telah dibuat dalam menambah pemilihan makanan, sama ada alternatif yang lebih murah ataupun yang lebih sihat.
Namun, ramai tidak peka dengan sesuatu makanan yang diletakkan pemanis buatan yang berkemungkinan bahaya kepada kesihatan.
Perkara ini diutarakan oleh seorang teknologis makanan yang menggunakan nama Facebook Sazly Tulih mengenai buah baby nanas yang dijual peniaga-peniaga tepi jalan. Mari kita ikuti perkongsian beliau.
Siklamat beri rasa manis 30 ke 50 kali ganda
Dua tiga minggu lepas, saya ada ternampak peniaga-peniaga di tepi jalan yang sebelum ini menjual jeruk mangga telah beralih kepada baby nenas.
Saya berharap sangat, produk ini bukanlah jenama “Dragon King” yang menggandungi siklamat iaitu pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis pada buah sehingga 30-50 kali ganda. Ingatkan Musang King Malaysia saja yang famous kan… Dragon King pun famous.
Untuk pengetahuan semua, siklamat ni tidak dibenarkan penggunaannya di dalam buah-buahan segar termasuk dikupas atau sedia dimakan dibawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Tak silap saya, pada tahun 2019 DG Kesihatan pernah membuat kenyataan akhbar berkenaan hal ini. Menurut kenyataan akhbar tersebut, baby nanas jenama Dragon King ini tidak dieksport ke Malaysia. Jangan ada penyeludupan buah ini ke Malaysia sudah lah.
Kepada pengguna, jika pernah terlihat atau terbeli produk baby nenas yang rasa manisnya lain macam tu, berhati-hatilah. Jika ada kemusykilan, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berdekatan atau boleh buat aduan di http://moh.spab.gov.my.
Kepada penjual pula, saya nak maklumkan jika tuan puan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 yang mana memperuntukkan, tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya.
Sesiapa yang didapati melanggar peruntukan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Kenapa siklamat diharamkan?
Menurut Pensyarah Kanan Kimia Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim, siklamat diharamkan penggunaan dalam buah-buahan segar kerana dapatan kajian 1966 melaporkan bahawa sesetengah bakteria di dalam usus boleh menukarkan siklamat kepada bahan kimia cyclohexylamine yang toksik kepada haiwan, termasuk manusia.
Kajian-kajian lain pula melaporkan, siklamat dan persediaannya juga berpotensi menjadi punca kepada masalah kanser.
Meskipun begitu, sehingga kini, isu siklamat penyebab kanser sebenarnya masih lagi kontroversi.
Sumber: Facebook Sazly Tulih