MLM Otai

Pak Man Telo: Otai Paling Popular Dalam Operasi Skim Cepat Kaya Di Malaysia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pak Man Telo, otai MLM paling popular di Malaysia.

Skim cepat kaya atau syarikat Multi-Level Marketing (MLM) bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Kebanyakannya menggunakan konsep teknik penipuan yang sama iaitu afiliasi kutu.

Terpengaruh dengan idea menjadi kaya tanpa perlu berusaha keras, ramailah yang terpedaya dan terjerumus ke jerat penipuan yang banyaknya bermodalkan air liur sebagai pemanis untuk menarik orang ramai.

Namun tahukah anda siapakah pengasas atau pemula kepada skim cepat kaya ini di Malaysia?

Antara yang paling awal mengasaskan skim penipuan ini ialah Osman Hamzah atau yang lebih dikenali sebagai Pak Man Telo pada awal 80-an.

Pak Man Telo Otai Paling Popular Dalam Operasi Skim Cepat Kaya Di Malaysia 2

Pak Man Telo yang berasal daripada Taiping, Perak pernah bertugas sebagai wartawan Warta Negara pada 1960-an sebelum menjadi wartawan secara sambilan di Bernama pada 1970-an.

Pada akhir 1970-an, Pak Man Telo telah menubuhkan sebuah syarikat MLM yang dinamakan sebagai Skim Pertama Berhad yang lebih dikenali sebagai Skim Pak Man Telo.

Pak Man Telo Otai Paling Popular Dalam Operasi Skim Cepat Kaya Di Malaysia 1

Disebabkan tidak pernah gagal membayar dividen yang tinggi kepada pelaburnya dalam tempoh beberapa tahun, Skim Pak Man Telo ini akhirnya berjaya menarik lebih ramai pelabur biarpun ianya dikenali sebagai skim yang tidak mempunyai model perniagaan.

Malah ada yang berjaya menjadi jutawan dalam masa singkat menjadikan orang ramai lebih yakin untuk mengeluarkan simpanan mereka dan melabur di skim ini kerana pulangan bulanan yang dijanjikan adalah antara 10% hingga 12%.

Namun pada akhir 1980-an, operasi Skim Pak Man telo mula mendapat ‘gangguan’ daripada beberapa pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mengutip wang daripada orang ramai tanpa lesen yang sah.

Kediaman Pak Man Telo diserbu

Rumah kediaman diserbu dan pada kali kedua serbuan dilakukan pada 2 Novermber 1989, wang tunai sebanyak RM1.7 juta dirampas. Beliau bersama isterinya, Maimunah Taib dan anak lelakinya, Abdul Rahman Osman ditahan.

Pada 11 Januari 1990, Pak Man Telo dihadapkan ke mahkamah di atas tuduhan telah melanggar Akta Bank dan Industri Kewangan 1989, manakala isteri dan anak lelakinya dituduh bersubahat. Namun ketiganya mengaku tidak bersalah.

Pak Man Telo kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta, pasportnya dirampas. Manakala isteri dan anak lelakinya dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin. Kesemua ikat jamin dibayar secara tunai.

Pak Man Telo Otai Paling Popular Dalam Operasi Skim Cepat Kaya Di Malaysia 4

Pada 13 Mac 1990, Pak Man Telo akhirnya mengaku bersalah di atas tuduhan mengambil deposit tanpa lesen tetapi isteri dan anak lelakinya dibebaskan. Pak Man Telo dijatuhkan hukuman penjara setahun dengan denda RM250,000 dan denda tersebut juga dibayarnya dengan  cara tunai.

Wang tunai RM1.7 juta yang dirampas pegawai BNM kemudiannya dipulangkan semula kepada Pak Man Telo kerana tiada undang-undang yang membolehkan BNM ‘memegang’ wang rampasan tersebut.

Populariti naik mendadak

Biarpun Pak Man Telo bersalah, beliau tetap ‘disanjung’ pengikut tegarnya di luar mahkamah dengan laungan ‘Hidup, Pak Man!’ Malah skim ini tetap menyambung operasi seperti biasa dengan peningkatan bilangan pelabur disebabkan populariti Pak Man Telo yang naik mendadak.

Pak Man Telo Otai Paling Popular Dalam Operasi Skim Cepat Kaya Di Malaysia 3

Namun, pada September 1990, para pelabur mula perasan tiada lagi pulangan dividen dan pada ketika ini Pak Man Telo mengumumkan kadar dividen 12% diturunkan kepada 5% sahaja dengan alasan berpunca daripada kemeseletan ekonomi dunia akibat daripada Perang Teluk yang berlaku.

BACA: Rahsia Kejayaan Malaysia Atasi Krisis Kewangan Asia 1997/1998 Tanpa Bantuan IMF

Pada Januari 1991, Pak Man langsung gagal membayar pulangan dividen yang dijanjikan menyebabkan berlakunya kekecohan di kediamannya. Kenderaan Pak Man Telo dirosakkan dan sebulan kemudian, anak lelakinya, Abdul Razak Affendi diculik dan sebagai tebusan Pak Man Telo perlu membayar RM430,000 kepada mereka. Namun kesemua penculik berjaya diberkas pihak polis.

April tahun yang sama, Pak Man Telo ditahan di Pejabat Polis Bukit Aman disebabkan adanya laporan polis terhadapnya. Hasil siasatan akhirnya berjaya mendakwa Pak Man Telo di mahkamah.

Skim Pak Man Telo tiada rekod transaksi

Pak Man Telo dituduh mengambil wang deposit kira-kira daripada 50,000 orang yang berjumlah sekitar RM99.09 juta. Pak Man Telo mengaku tiada siapa mengetahui berapa sebenarnya jumlah yang dikutip mereka kerana ketiadaan rekod setiap transaksi yang berlaku sepanjang operasi.

Mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, Pak Man Telo dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM2 juta sementara menunggu dibicarakan pada awal 1992 dan didapati bersalah buat kali kedua kemudiannya. Mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM500,000.

Gagal membayar denda, Pak Man Telo dipenjarakan lagi selama setahun di Penjara Taiping sebelum dibawa ke Kuala berang, Terengganu untuk perintah buang daerah.

Di sini, Pak Man Telo bersama isteri keduanya dan seorang anak lelakinya memulakan hidup baharu dengan membaiki radio dan televisyen sebelum meninggal dunia pada 22 Disember 1997 (70 tahun) akibat sakit tua.

Salah satu skandal kewangan terbesar

Biarpun tiada latar belakang pengetahuan dalam bidang ekomoni dan kewangan, Pak Man Telo berjaya memperdayakan orang ramai dengan kepercayaan yang diberikan sehingga menyebabkan Skim Pak Man Telo dilaporkan sebagai salah satu skandal kewangan terbesar di Malaysia, setanding dengan kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

BACA: Kisah Pembunuhan Kejam Jalil Ibrahim Bongkar Skandal BMF Yang Gemparkan Negara