
Padah Ludah Pada Butang Lif, Warga Emas Didenda RM400
Akibat terlalu ‘bijak’ melakukan perbuatan tidak senonoh iaitu meludah pada butang nombor lif, warga emas ini didenda di Mahkamah Majistret Pulau Pinang selepas mengaku bersalah.
Tertuduh, Ang Hock Benk, 63 tahun yang juga seorang pekerja pusat snuker didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM400.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja meludah butang nombor lif di lif bomba Flat Idaman Melur, Bayan Lepas pada jam 11.45 lagi, 15 Mac lalu.
Sehubungan itu, perbuatannya itu mungkin menyebabkan kemudaratan awam dan menyebabkan kegusaran kepada penduduk yang tinggal di perumahan itu.
Ketika rayuan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, S Bommy yang mewakili tertuduh memohon agar denda yang dikenakan dikurangkan dengan alasan, anak guamnya penghidap diabetes dan pesakit jantung.
Menurut S Bommy, anak guamnya berpendapatan RM900 sebulan serta perlu menanggung dua anaknya sejak penceraian berlaku dan meminta untuk mengurangkan denda terhadapnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid berkata, tertuduh patut diberikan penalti yang munasabah kerana tertuduh melakukan perbuatan itu ketika penularan wabak Covid-19.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM400 terhadap tertuduh dan jika gagal, tertuduh boleh dikenakan penjara selama sebulan.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video memaparkan seorang warga emas meludah butang nombor lif di sebuah perumahan di Bayan Lepas.
Susulan itu, seorang guru membuat laporan polis dan suspek berjaya ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Bayan Lepas tengah hari semalam.
Ujian saringan kesihatan mendapati, suspek tidak menunjukkan simptom wabak COVID-19 selain ujian saringan air kencingnya juga negatif.
Dalam keadaan gawat begini pun ada yang tidak boleh berfikir dengan waras sehingga sengaja menimbulkan kekecohan.
Sumber: Sinar Harian
Trending now



