
Padah Guna Air Paip Ganti Cecair Pembasmi Kuman, Penjaga Pintu Pasar Awam Dikompaun RM1000
Seluruh premis perniagaan di Malaysia diwajibkan mencatit rekod di samping mengambil suhu dan juga menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kebersihan yang lebih terjamin sebelum pelanggan memasuki premis mereka.
Sememangnya jika kita pergi ke mana-mana premis yang melibatkan orang ramai, akan disediakan cecair pembasmi kuman. Tapi, perasankah anda ada premis yang menggunakan cecair pembasmi kuman yang agak tidak selesa (tidak sama seperti cecair yang dijual di farmasi)?
Baru-baru ini, seorang penjaga pintu masuk Pasar Awam Lunas di Kulim, Kedah telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penjaga tersebut dikenakan tindakan di bawah Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana menggunakan air paip sebagai pengganti cecair pembasmi kuman.
Penularan COVID-19 di beberapa daerah di Kedah amat membimbangkan, justeru pemantauan di beberapa premis diadakan dan didapati ada peniaga tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dengan sebaiknya meskipun tahap kesedaran orang awam di situ amat tinggi setelah menyedari cara jangkitan COVID-19 yang begitu pantas.
Memetik sumber Awani, sebanyak 21 kes COVID-19 dicatatkan di daerah itu setakat semalam. Sebanyak tiga pasukan pemantau telah dikerahkan sepanjang 24 jam bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP dan menjaga diri sendiri sepanjang berada di tempat awam.
Dalam pada itu, di ruangan balas akaun Twitter KKM Putrajaya, netizen turut menyatakan ada juga premis yang tidak menggunakan cecair pembasmi kuman dengan menggantikan sejenis cecair yang tidak pasti dan baunya seperti air mop lantai.
“Kat mall, mart pun Ada ..bau busuk …mcm bau air untuk mop lantai”
“Ada tempat saya pun rasa diaorang tak guna sanitizer sebab macam air biasa dan tak kering bila kita gosok di tangan”
“Kalau di sini … macam segala-segala di campur detol + febreeze dan segala-segala benda yang saya tak tau apa dalam botol tu”
“Ada satu bank saya pergi, dia pakai air larutan cuka.”
“Tempat-tempat dekat Perak ni pun guna air, instead of hand sanitizer. Harap authorities boleh check;
Pasar Malam Malim Nawar(Selasa)
Pasar Malam Tapah(Jumaat)
Pasar Malam Kuala Dipang(Ahad)”
Sehubungan itu, orang ramai dinasihati untuk membawa cecair pembasmi kuman sendiri di mana-mana. Diharapkan juga pihak berkuasa di negeri lain turut mengambil tindakan tegas kepada premis-premis yang tidak mematuhi SOP.