Juruterbang Gantung Kerja Seumur Hidup

Padah Biar Kekasih Duduk Di Kokpit, Juruterbang Digantung Tugas Seumur Hidup

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang juruterbang warga China digantung daripada menerbangkan pesawat selama seumur hidup kerana membenarkan seorang penumpang yang merupakan kekasihnya memasuki kokpit ketika penerbangan sebelum wanita itu mengambil gambar.

Gambar wanita berkenaan duduk dalam kokpit pesawat dengan membuat gaya peace dimuat naik ke media sosial dengan kapsyen “Terima kasih kepada kapten. Saya sungguh gembira” lapor Daily Mail.

Insiden tersebut berlaku dalam pesawat Air Guilin 10 bulan lalu tetapi gambar-gambar yang dimuat naik oleh wanita berkenaan dikenal pasti sebagai Chen Yuying, seorang mahasiswi tahun ketiga Universiti Pelancongan Guilin mula tular pada Ahad di laman Weibo.

Dalam satu kenyataan, Air Guilin memohon maaf dan mengesahkan kejadian berlaku ketika penerbangan dari Guilin ke Yangzhou. Syarikat penerbangan itu dilaporkan menarik balik lesen penerbangan juruterbang itu selain mengharamkannya daripada tugas itu seumur hidup.

Juruterbang Gantung Kerja Seumur Hidup
Sumber: Flickr

Selain itu, pembantu juruterbang, pengurus kabin, serta masing-masing seorang pramugari dan pengawal keselamatan dalam penerbangan turut digantung tugas 12 bulan.

Sementara itu, pengerusi syarikat diberi amaran keras manakala tiga bulan gajinya dipotong, dan pengurus besarnya diturunkan jawatan selain turut dipotong gaji untuk tempoh sama. Tindakan juga diambil terhadap empat eksekutif kanan syarikat.

Peraturan penerbangan China melarang para penumpang yang tidak dibenarkan daripada berada dalam kokpit dan para juruterbang hanya boleh menjemput orang untuk memasuki kawasan itu atas sebab-sebab keselamatan.

Sumber: Berita Mediacorp