Thailand Dadah

Orang Ramai Kini Berisiko Untuk Positif Dadah Jika Menjamu Selera Di Thailand

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Terdapat sedikit kegusaran di kalangan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand ketika ini kerana juadah makanan di negara jiran tersebut yang mengandungi ganja boleh menyebabkan seseorang itu positif dadah.

Ini seterusnya merisaukan lagi orang ramai yang berkunjung ke negara tersebut kerana dikhuatiri mereka akan ditahan sejurus pulang ke Malaysia.

Mengulas mengenai kerisauan orang ramai tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, rakyat perlu memaklumkan kepada kedai makan yang terlibat mengenai larangan mengambil bahan tersebut yang masih dikuatkuasakan oleh Malaysia.

“Yang pentingnya kita ikut undang-undang kita, tapi apabila melawat ke negara itu, sebagai orang luar kita kena ikut undang-undang di sana,” jelasnya kepada pemberita pada satu majlis rasmi.

Ganja dikhuatiri telah digunakan secara meluas sebagai bahan masakan di Thailand selepas kerajaannya membenarkan rakyat untuk menanam pokok tersebut bagi kegunaan sendiri.

BACA: Thailand Kini ‘Halalkan’ Penduduk Tanam Ganja Di Rumah Tetapi…

Buat masa ini, kawalan pintu sempadan juga akan dipertingkatkan kerana kini lebih mudah bagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan ganja di negara jiran itu.

“Perancangan utama kita sememangnya akan memperketat dan meningkatkan kawalan di pintu masuk yang bersempadan dengan Thailand dan saya akan umumkan tak lama lagi berkenaan rancangan itu,” tegas Hamzah.

Meskipun begitu, menurutnya lagi, pihak keselamatan di sempadan sudah tentu tidak akan menahan semua orang yang pulang dari Thailand.

“Tetapi apabila ditahan dan periksa, mungkin ada kesalahan yang dilakukan dan apabila dibuat ujian saringan air kencing dan keputusannya positif, maka dia kena jawablah sebab apa positif,” amaran Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Thailand Dadah

Sumber: Utusan Malaysia