
Operasi Kelab Malam Akhirnya Dibenarkan, Tapi Kena Buat Ujian Kendiri Dulu Sebelum Nak Menari?
Berita menggembirakan buat pengunjung kelab malam dan pub di Malaysia kerana operasi premis tersebut kini dibenarkan untuk dibuka semula sehari lebih awal dari yang diumumkan sebelum ini iaitu berkuat kuasa mulai Sabtu, 14 Mei 2022.
Garis panduan baharu untuk operasi kelab malam yang merupakan kumpulan premis terakhir dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah pun dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Protokol Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen yang dikeluarkan oleh KPKT tersebut adalah susulan pengumuman kerajaan pada 27 April lalu berhubung senarai negatif yang telah dibenarkan beroperasi kembali selepas hampir dua tahun terhenti akibat pandemik.
Protokol itu juga dikeluarkan setelah mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus sebagai rujukan kepada semua pemain industri berkaitan.
Tapi, tunggu dulu! Mereka yang dah tak sabar nak ‘cucuk langit’ tu kena buat dulu Ujian RTK-Ag Kendiri COVID-19 dengan penyeliaan Pengamal Perubatan Berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal ataupun secara maya dalam tempoh 24 jam sebelum masuk ke premis.
Ya, betul! Nak berjoget dan menari pun kena buat ujian kendiri sehari awal dulu, tau?
Pemakaian pelitup muka pun masih perlu semasa berada di dalam premis kecuali semasa aktiviti makan, minum dan menari.
Paling penting, walaupun kapasiti premis ditetapkan pada had 100% termasuk di bahagian ruang tari, pekerja dan pelanggan masih diwajibkan mengimbas MySejahtera dan membuka fungsi MySJ Trace apabila memasuki premis.
Hanya pekerja dan pelanggan dengan status MySejahtera ‘Risiko Rendah’ sahaja dibenarkan masuk ke premis untuk bergembira.
Jadi, siapa-siapa yang dah ’uninstall’ MySejahtera tu, silalah muat turun dan kemas kini balik aplikasi tersebut sebelum melakukan aktiviti ‘clubbing’ nanti.
Pemilik premis juga boleh menjalankan ujian ke atas pengunjung sebelum mereka masuk untuk menunjukkan skil tarian masing-masing dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pelanggan mereka itu telah diuji negatif COVID-19 terlebih dahulu.
Waktu operasi bagi kelab malam dan pub ini walau bagaimanapun akan ditentukan mengikut syarat lesen dan permit oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, premis juga perlu mempunyai pengudaraan dan sistem ventilasi baik mengikut Garis Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Sumber: Kosmo!, Malaysiakini