Pihak Produksi Promosi LGBT Pelakon Bawah Umur

‘Normalisasi Sudah Terlalu Terbuka’ – Pihak Produksi Dikecam Promosi Siri LGBT Guna Pelakon Bawah Umur

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pihak Produksi Dikecam Promosi Siri LGBT Guna Pelakon Bawah Umur.

Agenda membawa gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dilihat telah mula dibawa ke arus perdana Malaysia apabila baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai isu seorang pelakon muda terlibat dalam siri bertemakan gay.

Siri berjudul Stay Away From Me mencetuskan kontroversi dan menjadi bualan apabila video promosi berlegar di aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu.

Video tersebut memaparkan babak romantik yang digelar BL (boylove) sehingga membuatkan orang ramai mempersoalkan bagaimana siri tersebut melepasi tapisan dan boleh ditayangkan di Malaysia.

Difahamkan, siri terbabit ditayangkan pada 5 Disember di aplikasi temu janji gay dan penstriman video yang memerlukan langganan.

Seorang penceramah motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi terpanggil untuk mengulas isu tersebut yang dilihat turut berkaitan sexual grooming apabila ia melibatkan pelakon muda yang membawa watak terbabit.

Memetik Harian Metro, pelakon yang dikenali Danish Iskandar, 17, menafikan kecenderungan seks sesama jenis apabila ditanya wartawan akhbar tempatan terbabit.

Ujarnya, ketika mesyuarat pertama, storyboard yang diberi tidak membabitkan babak-babak sebegitu. Tetapi produksi menambah beberapa babak termasuklah babak romantik setelah separuh proses penggambaran dijalankan.

Namun begitu, Akhi Fairuz Al-Jengkawi memaklumkan dalam Undang-Undang Malaysia, pelakon tersebut masih dalam kategori kanak-kanak (definisi kanak-kanak, Seksyen 2, Akta kanak-kanak).

Pihak Produksi Promosi LGBT Pelakon Bawah Umur
Sumber: Facebook

Sehubungan itu, semua pihak produksi yang terlibat dalam pembikinan siri terbabit dianggap telah melanggar Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 (pornografi dan pengantunan seksual) – jika benar siri ini mempromosi homoseksualiti.

Justeru, beliau berharap pihak berautoriti seperti Menteri Wanita, Menteri Agama serta JAKIM perlu memandang serius isu berkenaan yang jelas dilihat bertentangan dengan norma kehidupan.

Begitu juga dengan pandangan Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam satu hantaran di Facebook mencadangkan supaya Malaysia mewujudkan Akta Larangan Mempromosi Homoseksualiti dan Tasyabbuh (cross-dressing).

Ujarnya, semakin hari budaya menormalisasikan Homoseksualiti dan Tasyabbuh sudah semakin terlalu terbuka dan serius.

BACA: Tema Filem ‘Tahfiz Gay’ Bukan Seperti Yang Ditularkan, Ini Kisah Sebenar…