
Nilai Pasaran AS$2.38 Trilion, Syarikat Ini Berjaya Atasi Apple Sebagai Syarikat Paling Bernilai Di Dunia
Sejak awal tahun ini, firma teknologi Amerika Syarikat, Apple menyaksikan penurunan harga sahamnya sebanyak kira-kira 20%.
Pada masa yang sama, saham syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi, Saudi Aramco, melonjak sebanyak hampir 28%.
Menurut Agensi Anadolu, pada Khamis lalu, harga saham Saudi Aramco ditutup pada 44.70 Riyal Saudi (AS$11.92) sesaham di bursa saham negara itu, Tadawul untuk permodalan pasaran 8.94 trilion Riyal Saudi (AS$2.38 trilion).
Jumlah ini lebih besar dari harga saham Apple yang berada pada AS$146.07 sesaham pada indeks Nasdaq AS jam 11.10 pagi EDT untuk nilai pasaran AS$2.36 trilion.
Ini menjadikan Saudi Aramco sebagai syarikat paling bernilai di dunia mengatasi Apple!
Wow! Tahniah Pak Arab! Ini julung kalinya nilai pasaran Saudi Aramco mengatasi Apple sejak 2020.
Apple kini dilaporkan sedang bergelut dengan rantaian bekalan yang meruncing, krisis kekurangan cip dan inflasi pengguna yang meningkat.
Saudi Aramco pula bernasib baik kerana kini sedang mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa dan telah melonjak kepada AS$139 setong pada Mac, paras tertinggi sejak 2008.
Perang Rusia-Ukraine pula mengancam bekalan minyak mentah yang selamat ke Eropah di samping mendorong harganya menjadi lebih tinggi.
Ditambah pula dengan permintaan minyak global yang meningkat dengan pantas melebihi bekalan minyak mentah dalam tempoh selepas pandemik.
Faktor-faktor yang memainkan peranan penting dalam kenaikan harga minyak inilah yang menjadikan syarikat Saudi Aramco lebih bernilai dari Apple buat masa ini.
Sumber: BERNAMA