
Nilai Kekayaan Mark Zuckerberg Kini Setaraf Bill Gates Dan Jeff Bezos
Nilai kekayaan Mark Zuckerberg kini setaraf Jeff Bezos dan Bill Gates.
Ketua Pegawai Eksekutif Facebook (FB), Mark Zuckerberg kini sudah pun memegang status centibillionaire susulan daripada pelonjakan saham selepas pengumuman akan melancarkan saingan kepada aplikasi TikTok.
Dengan peningkatan itu, Mark kini berada dalam senarai Centibillionaire Club (individu yang memiliki nilai kekayaan bersih melebihi USD100 bilion) yang mana turut menamakan pengasas Amazon, Jeff Bezos dan pengasas bersama Microsoft, Bill Gates.
BACA: Bill Gates Letak Jawatan Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Microsoft
Menurut The Guardian, saham Facebook meningkat 6% kerana para pelabur yakin aplikasi yang akan mereka bangunkan mampu memberikan saingan kepada TikTok.
Syarikat teknologi terbesar di Amerika Syarikat iaitu Amazon, Apple, Alphabet, Facebook dan Microsoft mempunyai nilai pasaran bersamaan dengan kira-kira 30% daripada produk domestik kasar Amerika Syarikat dan nilai gabungan kesemuanya meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun belakangan ini.
Mark mula membangunkan aplikasi sosial, Facebook ketika berada di Universiti Harvard pada tahun 2004 bersama rakan-rakannya, Andrew McCollum, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes.
Pada mulanya aplikasi ini hanya terhad kepada pelajar Harvard, namun secara berperingkat diperluaskan penggunaannya di kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy dan Universiti Stanford.
Selepas daripada itu, penggunaan Facebook diperluaskan lagi dan sehingga kini sudah lebih 400 juta pengguna aktif menggunakan aplikasi sosial ini di seluruh dunia.
Antara kontroversi yang pernah dihadapi Facebook ialah penjualan data pengguna, kod sumber dan harta intelek.