Nigeria Lapor Kes Keracunan Selepas Donald Trump Kata Chloroquine Merawat COVID-19

Trump Kata Chloroquine Merawat COVID-19

Nigeria merekodkan dua kes keracunan chloroquine selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memyambut baik penggunaan ubat anti-malaria berkenaan mampu merawat jangkitan COVID-19.

Bloomberg melaporkan, pegawai kesihatan memberikan amaran kepada Nigeria supaya tidak mengendalikan ‘rawatan sendiri’ selepas permintaan terhadap ubat itu meningkat di Lagos yang mempunyai 20 juta penduduk.

Pembantu Kanan Kesihatan kepada Gabenor Lagos, Oreoluwa Finnih berkata, dua orang yang dimasukkan ke hospital di Lagos kerana penggunaan chloroquine secara berlebihan.

“Tolong jangan panik. Chloroquine masih dalam fasa ujian digabungkan dengan ubat lain dan belum disahkan sebagai rawatan pencegahan atau penawar,” katanya.

Sementara itu, Pusat Kawalan Penyakit Nigeria memberikan amaran bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum meluluskan penggunaa ubat terhadap virus berkenaan.

Sehingga hari ini, Nigeria merekodkan 40 kes jangkitan COVID-19. Khamis lalu, Trump berkata chloroquine dan hydroxychloroquine yang kurang toksik menunjukkan harapan yang cerah untuk merawat COVID-19.

Presiden itu turut mengeluarkan ciapan pada Sabtu, memberitahu pengikutnya Twitter bahawa hydroxychloroquine dan azithromycin ‘bersama-sama’ boleh menjadi ‘salah satu pengubah-permainan terbesar dalam sejarah perubatan’. Beliau mendesak untuk cepat diguna pakai ubat-ubatan tersebut.

Trump Kata Chloroquine Merawat COVID-19

Trump juga mengulang kicau mengenai kajian kecil iaitu sebanyak 26 pesakit yang menunjukkan kejayaan dalam membasmi koronavirus baharu itu apabila kedua-dua ubat itu diambil bersama.

Sementara itu, WHO memberi amaran pandemik COVID-19 semakin cepat tersebar dengan lebih 300,000 kes dicatat kini.

Jangkitan yang pada mulanya mengambil masa 67 hari untuk mencapai 100,000 kes pertama cuma mengambil masa 11 hari untuk 100,000 seterusnya dan hanya empat hari untuk 100,000 kes selanjutnya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus bagaimanapun berkata masih belum terlewat untuk dunia mengubah trajektori itu. Dr Tedros turut meminta orang ramai agar tinggal di rumah dan mengikuti langkah-langkah penjarakan sosial sebagai usaha membendung virus itu.

Beliau menggunakan analogi perlawanan bola sepak, langkah ‘bertahan’ yang diambil dunia sekarang tidak akan membantu untuk memberikan ‘kemenangan’.

“Apa yang paling penting ialah apa yang dilakukan, anda tidak boleh memenangi perlawanan bola sepak dengan mempertahankan diri, anda mesti menyerang.”

“Untuk menang, kita perlu menyerang virus dengan taktik yang agresif dan disasarkan – menguji setiap kes yang disyaki, mengasingkan dan menjaga setiap kes yang disahkan serta mengejar dan menjarakkan setiap pertemuan,” katanya.

Sumber: CNN, Awani