Nickelodeon Umum SpongeBob Sebagai Karakter Gay, Cetus Perbalahan Dalam Kalangan Peminat

Spongebob Gay

Saluran Nickelodeon baru-baru ini membuat pengumuman mengenai seksualiti watak animasi popular SpongeBob SquarePants yang ternyata mengejutkan ramai peminat.

Menerusi pengumuman pada Ahad melalui laman sosial Twitter, Nickelodeon mengakui karakter span kuning ceria ini adalah gay. Pengumuan itu dibuat sempena Nicklodeon turut menyambut bulan Jun sebagai bulan ‘Pride’ yang meraikan komuniti LGBT ini.

Selain SpongeBob, dua lagi karakter yang turut diumumkan dalam ciapan sama merupakan watak Schwoz Schwartz dari Henry Danger dan Korra dari the Legend of Korra sebagai karakter dari komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Selepas tularnya mengenai pendedahan tersebut, kebanyakan peminat menyelar tindakan Nickelodeon apatah lagi pencipta asal watak Spongebob bukanlah seorang gay.

Biarpun begitu, ada yang gembira dengan perkhabaran tersebut terutama buat mereka yang menyokong LGBT membuatkan tercetusnya perbalahan dalam kalangan peminat siri lagenda ini.

Ada yang menerimanya tak kurang juga yang mencemuh dan ia disifatkan sebagai membelakangi ciptaan asal karakter itu.

“Pencipta watak sudah nyatakan Spongebob bukan gay. Sekarang bila penciptanya mati, Nickelodeon tampil dengan perkara ini. Ia mengarut,” tulis seorang individu.

Spongebob Gay

Menurut Mashable SE Asia, pencipta SpongeBob SquarePants, Stephen Hillenburg dengan tegas mengatakan bahawa SpongeBob bukan karakter ‘straight’ mahupun gay.

Hillenburg, yang merupakan bekas ahli biologi marin sebelum membuat siri ini, menekankan bahawa animasi ini hanya untuk hiburan dan bukan perkara lain.

“Kami tidak pernah bermaksud mereka adalah gay. Saya menganggap mereka hampir aseksual. Kami hanya berusaha untuk menjadi lucu dan ini tidak ada kaitan dengan rancangan ini.”

Bagaimanapun, ia masih menjadi perdebatan tentang karakter SpongeBob ini walaupun penciptanya sudah meninggal dunia pada tahun 2018.

Disebabkan pengumuman kontroversi itu, Nickelodeon telah menutup ruangan komen bagi mengelakkan perbalahan orang ramai.

Sumber: Mashable SE Asia