Pelajar Bukan Islam Belajar Tasawwur Islam

Netizen Kagum Pelajar Bukan Muslim Ini Cemerlang Ujian Tasawwur Islam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bukan beragama Islam namun pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak ini mengambil subjek Tasawwur Islam sebagai mata pelajaran elektif bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Januari depan.

Lebih mengagumkan, M Dharshini tidak diajar guru kerana pertembungan jadual persekolahan dan hanya belajar berpandu modul yang dibekalkan, malah berjaya mengekalkan keputusan cemerlang.

Menurutnya, dia merupakan satu-satunya calon bukan Muslim di sekolahnya yang mengambil mata pelajaran berkenaan sejak tahun lalu dan berjaya memperoleh gred A+ atau A- setiap kali menduduki ujian.

Ditanya mengapa mengambil subjek Tasawwur Islam, katanya sebagai menambah pengetahuan mengenai agama Islam selain ingin memenuhi hasrat ibu yang memintanya menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tidak jauh dari rumah.

“Saya menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan kebetulan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak yang paling hampir dengan rumah,” katanya sebagai harapan subjek berkenaan dapat memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan universiti.

Dharshini berkata, pada awalnya sukar untuk memahami Tasawwur Islam tanpa bantuan guru namun kerja keras dalam menelaah modul yang diberikan membantu dia menguasai subjek itu.

“Pada awalnya, agak sukar untuk memahami, mengingati dan membezakan misalnya antara nabi dan rasul tetapi kini saya sudah mengerti.

“Setakat ini, saya dapat mengekalkan gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan dengan markah keseluruhan paling tinggi adalah 90,” katanya.

Pelajar Bukan Islam Belajar Tasawwur Islam
Sumber: HM

Sebelum mengambil subjek Tasawwur Islam, Dharshini pernah mengikuti kelas jawi ketika di tingkatan satu dan dua bersama rakan sekelas lain di surau.

“Namun, hanya setakat itu saja kerana kelas berkenaan tidak diteruskan di tingkatan tiga. Saya juga tidak mahir membaca atau menulis jawi tetapi mengenali hurufnya.

“Ibu tidak pernah menghalang sebaliknya memberi sokongan kerana tahu saya hanya mahu menuntut ilmu, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Kisah Dharshini mendapat perhatian warganet selepas dia memuat naik ciapan bersama gambarnya dan markah diperoleh untuk subjek Tasawwur Islam dalam Ujian Penilaian dan Peperiksaan di laman sosial Twitter.

Ciapan itu mendapat pujian netizen yang kagum dengan prestasi gadis berkenaan walaupun bukan beragama Islam.

Semoga adik ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang untuk SPM nanti!

Sumber: HM

BACA: Kagum! Kanak-Kanak India Ini Fasih Berbahasa Arab Hasil Didikan Di PASTI