India #BoycottMalaysia

Netizen India Lancarkan #BoycottMalaysia Gara-Gara Ucapan Tun M Sentuh Isu Pencerobohan Kashmir

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini mencetuskan kemarahan netizen negara India yang mana ucapan beliau menyebut wilayah Jammu dan Kashmir ‘diceroboh dan diduduki’ (walaupun Tun Mahathir tidak menyebut nama negara berkenaan).

Susulan itu, netizen India melancarkan tanda pagar #BoycottMalaysia menyeru rakyat mereka tidak lagi melancong dan memutuskan hubungan perdagangan dengan Malaysia. Dalam ucapan Tun Mahathir turut meminta India dan Pakistan menyelesaikan masalah antara mereka dengan cara damai.

India #BoycottMalaysia

Sedikit info, Kashmir merupakan sebuah wilayah kecil terletak di barat laut benua kecil India. Ia merujuk kepada lembah yang terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India.

Pada masa ini, secara geopolitiknya, Kashmir terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India, meliputi lembah Kashmir serta Jammu dan Ladakh. Kawasan-kawasan Utara dan Azad Kashmir pula ditadbir oleh Pakistan, dan Rantau Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram yang ditadbir oleh China.

Walaupun, kawasan-kawasan tersebut dikuasai oleh ketiga-tiga negara terbabit, tetapi India mahupun Pakistan tidak pernah mengiktiraf pemilikan antara satu sama lain ke atas kawasan- kawasan yang menjadi pertikaian.

Tun Mahathir turut menulis ucapan beliau itu di ruangan ciapan laman sosial Twitter.

Berdasarkan untaian ciapan beliau, Tun Mahathir mencadangkan bahawa India perlu bekerjasama dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu negara dengan aman. Beliau menganggap kegagalan menyelesaikan masalah secara aman akan mengabaikan tujuan PBB dan undang-undang yang termaktub.

Kenyataan beliau mengenai keadaan Jammu dan Kashmir, serta ulasannya mengenai isu antara India dan Pakistan, mencetus pelbagai reaksi netizen India yang membawa kepada tanda pagar, #BoycottMalaysia.

Kebanyakan ciapan mendesak orang ramai untuk tidak melawat Malaysia dan mencadangkan supaya memilih untuk melawat negara-negara Asia Tenggara yang lain. Bukan itu sahaja, mereka juga turut memboikot Turki sebagaimana pemimpin negara itu turut berkongsi sentimen yang sama dengan Tun Mahathir. Sebahagian mereka turut menuduh Malaysia menyokong keganasan.

Mereka turut menegaskan bahawa mereka percaya Kashmir mempunyai kepentingan dengan India dan negara lain tiada hak untuk campur tangan dengan kedaulatan negara mereka.

India #BoycottMalaysia
Sumber: Twitter