
Netizen Gigih Bongkar Identiti ‘Lecturer’ Lucah, Tapi Kenapa Masih Tiada Tindakan?
Portal FMT melaporkan, seorang bekas siswazah institusi pengajian tinggi melahirkan rasa kecewa kerana belum ada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya.
Dia yang telah membuat laporan di Balai Polis Tangkak lebih setahun lalu dengan menyerahkan bersama bukti rakaman perbualan telefon dengan pensyarah itu meluahkan rasa kesal kerana masih belum menerima sebarang maklum balas dari pihak berkuasa mahupun pentadbiran universiti berkenaan.
“Kenapa (ambil masa) lama saya pun tak tahu. Nak kata tak cukup bukti, semua bukti kita dah bagi, malah polis pun ambil keterangan pensyarah saya, tapi masih juga (makan masa) satu tahun,” katanya yang kini telah menjadi seorang lulusan Diploma Pengurusan dan Perniagaan.
Tinjauan portal berita itu juga mendapati pensyarah berkenaan masih lagi disenaraikan sebagai tenaga pengajar di salah sebuah kampus cawangan universiti tersebut.
Lebih malang, ekoran dari tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa setakat ini, pensyarah berkenaan kemudiannya menghantar notis mahu mengambil tindakan saman malu pula terhadapnya pada awal bulan ini.
Tindakan yang diambil oleh pensyarah itu dipercayai hanyalah bertujuan untuk menakut-nakutkannya kerana sebelum ini keluarganya pernah menolak tawaran RM20,000 daripada pensyarah itu bagi “menutup” kes.
“Dia datang rumah saya, minta maaf dekat ibu bapa saya, sampai melulut depan mak saya. Kami suruh balik, tapi dia tak nak. Sampai saya panggil polis. Polis datang, baru dia balik.
“Dia saman saya atas tuduhan saya dedahkan tempat kerja dia, kehidupan peribadi dia. Itu semua bukan saya yang buat. Itu dari pihak ketiga, ‘netizen’ yang cari nama dia, gambar dia, tempat kerja dia. Saya tak mengiya dan tak menidakkan,” jelasnya yang baru saja melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaannya yang mengatakan seorang pensyarah memintanya menjawab pelbagai soalan kaji selidik berunsur lucah, diselang seli dengan percakapan yang tidak senonoh.
Dia dan beberapa orang lagi rakan sekelas kemudiannya berpakat merakam perbualan telefon antaranya dan pensyarah berkenaan sebagai bukti.
Susulan dari itu, beberapa pelajar lain turut menghubunginya dan mendakwa turut menjadi mangsa gangguan seksual pensyarah yang sama.
BACA: Lelaki Ini Kongsikan Tentang Bahaya Gurauan Lucah
Sumber: FMT