
Netizen ‘Bising’ Isu Air Bertakung Di Jejambat Bukit Kukus, Jurutera Perunding Projek MBPP Diminta Kemuka Penjelasan
Jejambat Bukit Kukus yang tular sebelum ini kerana dipenuhi dengan sampah sarap kini berdepan pula dengan masalah air bertakung pada hujung minggu yang lalu.
Jalan berkembar yang baru dibuka bulan lepas itu dilaporkan memang menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati pemandangan dan berswafoto.
Oleh yang demikian, sampah sarap sering ditemui di kawasan tersebut dipercayai dibuang oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.
Hujan lebat di Pulau Pinang hujung minggu yang lalu menyebabkan berlaku pula takungan air di bahagian penghujung Jejantas Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon.
Jejambat tersebut sekali lagi menjadi tular setelah banyak gambar dan video dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan yang terkandas dan tidak dapat melalui laluan tersebut.

Siasatan awal mendapati terdapat daun-daun kering dan sampah sarap yang menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan jejambat tersebut.
Kerja-kerja pembersihan segera telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan laluan tersebut kembali selamat untuk digunakan oleh orang ramai.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan di media sosial yang berpendapat bahawa bukan sahaja faktor sampah yang patut dititikberatkan.
Terdapat komen yang menyatakan penghujung jejantas tersebut juga dikatakan mempunyai lengkungan yang agak dalam di kedua-dua laluan masuk dan keluar.

Seorang pengguna Facebook, Faz Lie berkata, lengkungan atau lekuk di laluan tersebut agak dalam dan bukan sahaja merbahaya dan berfungsi sebagai ‘kolam’ setiap kali hujan lebat.
Beliau juga musykil bagaimana proses serahan atau handover projek mega tersebut dapat dilakukan sebelum ini.
Pendapatnya turut dipersetujui oleh JAi MYa yang berpendapat perlunya Root Cause Analysis supaya langkah pembaikan yang betul dapat dilaksanakan dan bukannya menjadikan faktor sampah sahaja sebagai satu-satunya penyebab.
Terdapat juga komen yang mempertikaikan kenapa lampu jalan juga didapati tidak berfungsi dengan sempurna di lebuh raya tertinggi di Malaysia yang bernilai RM378.2 juta tersebut.
Dalam satu Kenyataan Media, MBPP menegaskan insiden air bertakung tersebut dipandang serius dan jurutera perunding projek telah diminta untuk mengemukakan penjelasan terperinci.
Pakar-pakar dari The Institution of Engineers Malaysia (IEM) turut dipelawa untuk bekerjasama memberi khidmat nasihat teknikal.
BACA: Baru Dibuka Tak Sampai 2 Minggu, Jalan Tertinggi Di Malaysia Ini Dah Dipenuhi Dengan Sampah Sarap
Sumber: Facebook MBPP