Nelayan Ini Hanya Sebut Namanya Sahaja Dapat Makan Dan Minum Secara Percuma

Mohd Merdeka
Sumber: Selangor Kini

Hanya sebut namanya, Merdeka dapat makan dan minum secara percuma.

Sejak kecil, Mohd Merdeka Ismail yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 sering diejek dan dijadikan topik gurauan oleh kawan-kawan kerana namanya yang dianggap pelik sehingga beliau berasa malu dengan nama itu.

Tetapi kini, Mohd Merdeka merasakan nama yang diberikan oleh bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor, membawa tuah apabila sering mendapat peluang yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, sekali gus membuatkannya berasa bangga kerana memiliki nama yang serupa dengan hari kemerdekaan negara.

Namun siapa sangka, nama unik itu membawa tuah kepadanya apabila sebuah kedai kopi di Kampung Simpang Tiga, Penaga, Pulau Pinang memberikan keistimewaan khas kepada beliau.

Pemilik kedai kopi itu memberitahu bahawa beliau boleh makan dan minum secara percuma dikedainya pada bulan ini dengan hanya menyebut namanya sebanyak tiga kali.

“Mula-mula saya ingat pemilik kedai kopi itu hanya bergurau…tetapi selepas saya menyebut Merdeka…Merdeka…Merdeka…pemilik kedai itu pun minta saya order apa sahaja, beliau akan belanja,” katanya kepada pemberita.

Nama ‘Merdeka’ bawa tuah

Mohd Merdeka
Sumber: Malaysian Reserve

“Dulu, masa kecil saya rasa malu dengan nama ini tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang dan kini saya berasa bangga dengan nama ini kerana dapat menyambut hari lahir sama dengan sambutan kemerdekaan negara,” katanya.

Tambahnya, disebabkan namanya, beliau telah berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.

Mengimbas kembali kenangan manis bergelar anak merdeka ditambah lagi mengabadikan perkataan merdeka pada namanya, Mohd Merdeka berkata beliau kerap mendapat habuan istimewa disebabkan keunikan namanya.

Beliau berkata, ramai yang tidak tahu nama itu telah menjadikannya seperti seorang yang terkenal umpama selebriti kerana pernah beberapa kali dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan.

Bukan namanya sahaja, tarikh lahir juga mudah diingati dan mendapat cuti umum sekali gus memudahkan beliau mengadakan majlis kesyukuran setiap tahun bersama ahli keluarga.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu juga berkata nama ini membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.

“Nama ini telah mengingatkan saya dan semua rakyat bahawa negara telah bebas dari jajahan dan kita harus mengekalkan keharmonian negara dan semangat cintakan negara.”

Sumber: Bernama

BACA: 7 Fakta Menarik Disebalik Sejarah Merdeka Yang Jarang Diketahui