
NEF Kecewa Projek Besar ICT Dimonopoli Syarikat Asing, Termasuk Aplikasi MySejahtera
Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) menyuarakan pandangan mereka dan meminta kerajaan menetapkan dasar untuk memberi keutamaan kepada syarikat tempatan yang berkebolehan dan mempunyai penyelesaian inovasi tinggi dalam melaksanakan projek berskala besar berkaitan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ini berikutan kebanyakan projek ICT kerajaan ketika ini diperoleh syarikat asing, mengakibatkan syarikat tempatan bertarung nyawa bertahan terpaksa bersaing dengan firma luar dengan kemampuan modal terhad.
Presiden NEF, Khairil Iszuddin Ismail, berkata perolehan itu tidak wajar memandangkan syarikat asing mempunyai modal besar memperoleh manfaat daripada dana kerajaan dan cukai rakyat untuk kemajuan mereka.
Memetik laporan The Malaysia Insight, Khairul Iszudin berkata amalan itu sudah berlaku sejak sekian lama terutama untuk projek berskala besar.
“Adalah tidak wajar syarikat luar negara dengan modal yang besar, mendapat pula manfaat daripada wang kerajaan dan wang cukai rakyat untuk kemajuan mereka, sedangkan syarikat tempatan yang bertarung nyawa untuk hidup terpaksa bersaing dengan mereka, dengan modal yang terhad.
“Beberapa pihak begitu bersemangat membawa pesaing luar negara untuk bertapak dalam Malaysia, dan membunuh syarikat teknologi tempatan.
“Lebih sedih lagi apabila ia disokong oleh pihak kerajaan sendiri ataupun bersandarkan sokongan politik,” katanya dalam satu kenyataan.
NEF membangkitkan perkara ini kerana ia juga melibatkan soal keselamatan negara. Mereka memberi contoh beberapa aplikasi kerajaan yang menggunakan kepakaran teknologi luar negara, termasuk beberapa aplikasi yang diperkenalkan sejak penularan COVID-19.
Antaranya, MySejahtera yang diperkenalkan untuk pengesanan kontak Covid-19, yang dibangunkan dengan usaha sama syarikat luar negara, KPISoft Inc dari Amerika Syarikat yang mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura.
Contoh lain, pembangunan laman web DELIMa (Digital Education Learning Initiative Malaysia) oleh Kementerian Pendidikan, yang mana solusi dan kandungan digital tempatan langsung tidak diketengahkan.
Projek di bawah Penjana adalah MyFutureJobs oleh Perkeso, menggunakan kepakaran teknologi dari Netherland, juga projek di bawah Penjana yang mengenepikan pembangun teknologi e-commerce tempatan.
Beliau turut menyenaraikan beberapa projek ICT yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia, sesetengahnya secara sukarela dan tanpa imbuhan daripada kerajaan.
Antaranya aplikasi MyBanjir bagi membantu isu banjir di Kuala Krai, Kelantan dan aplikasi Datang.my untuk merekod kehadiran di sekolah semasa COVID-19 yang dijana oleh anak muda tempatan.
Pihak NEF turut melancarkan kempen baru dinamakan #MalaysianTechFirst, dan akan memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia berkenaan dengan isu ini.
https://www.facebook.com/NEFMalaysia/posts/3210402992350743?__tn__=-R