Kena Kejar Harimau

Nasib Baik Sempat Pecut Motor, ‘Rider’ Ceritakan Pengalaman Kena Kejar Harimau

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seekor harimau membuat kejutan apabila tiba-tiba muncul untuk menerkam seorang penghantar makanan yang sedang menaiki motosikal.

Namun, syukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan motosikal mahupun kehilangan pesanan makanan dilaporkan.

Kejadian berlaku pada satu malam yang gelap dan sunyi yang hanya bertemankan cahaya kerlipan bintang dan bunyian unggas malam.

Seorang ‘rider’ yang baru selesai menghantar pesanan pelanggan dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permint Indah, Dungun, Terengganu mendakwa seekor harimau belang cuba menerkamnya dari atas motor.

Ketika itu, jam menunjukkan pukul 8.40 malam dan beliau baru sahaja selesai menghantar pesanan seorang pelanggan dengan menaiki sebuah motosikal di Taman Bersekutu, Kampung Sura menyusuri sebuah jambatan.

“Tiba-tiba saya ternampak kelibat harimau di sebelah kanan motosikal dan ia dilihat cuba menerkam ke arah saya, tak fikir panjang, saya terus pecut selaju yang mampu untuk selamatkan diri,” jelas Mohd Shafiq Mamat, 27, kepada BERNAMA.

“Saya mengucap banyak-banyak dan berdoa agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Saya sempat menoleh ke arah harimau itu semula, jaraknya dengan saya lebih kurang 5 meter sahaja, mujurlah akhirnya ia berhenti mengejar,” tambah beliau.

Tidak dinyatakan pula jenis motosikal yang ditunggang oleh Shafiq pada masa itu yang berjaya mengatasi kelajuan seekor harimau.

Tetapi menurut Shafiq, anggarannya saiz harimau belang itu lebih besar daripada motosikalnya dan ketinggiannya pula lebih kurang paras paha lelaki dewasa.

Kena Kejar Harimau

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bersekutu telah dimaklumkan mengenai hal ini dan laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu telah pun dibuat.

Shafiq turut mendakwa detik-detik cemas tersebut sebagai yang paling dahsyat pernah beliau alami setelah hampir 2 tahun bekerja sebagai penghantar makanan.

Katanya lagi, sehingga kini dia masih trauma dengan insiden tersebut dan tidak menolak kemungkinan harimau berkenaan kini telah keluar dari hutan Bukit Bauk yang terletak berhampiran.

Syafiq turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan laluan berkenaan terutama pada waktu malam dikhuatiri ‘Pak Belang’ tersebut sedang menanti untuk menerkam ‘rider’ seterusnya.

BACA: ‘Pembalakan Baik Untuk Populasi Harimau’ – Kenyataan Pengarah Perhutanan Kelantan Dikecam Ramai

Sumber & kredit foto: BERNAMA, Utusan Malaysia