Malaysia Asia's Got Talent

NAMA Dan ‘Human Calculator’ Bakal Berentap Di Pentas Akhir Asia’s Got Talent

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tidak dapat disangkal lagi, dua peserta Malaysia iaitu kumpulan penyanyi wanita, NAMA dan Yaashwin Sarawanan yang lebih dikenali sebagai Human Calculator, berjaya melangkah ke pusingan akhir program global Asia’s Got Talent (AGT) musim ketiga.

Pada episod separuh akhir Rabu lalu, NAMA dipilih oleh barisan juri iaitu Anggun, David Foster dan Jay Park menerusi Pilihan Juri sekaligus melayakkan kumpulan itu terus mara ke final.

“(Kumpulan) ini saya fikir penting untuk dunia melihat…empat gadis moden yang juga orang Islam,” kata David Foster, seorang daripada tiga juri program tersebut.

Foster, pemuzik dan penerbit dari Kanada, kagum dengan konsep dibawa NAMA yang mana walaupun mereka berhijab tetapi ia tidak menghalang mereka untuk membuat persembahan menghiburkan di atas pentas.

Manakala seorang lagi peserta Yaashwin Sarawanan, Jay Park, penyanyi rap terkenal Amerika-Korea berkata remaja lelaki berusia 15 tahun itu seorang yang ‘cukup unik’.

“Beliau berbakat dan sangat unik. Saya tidak pernah membayangkan dalam 1,000 tahun seorang lelaki menyelesaikan (masalah) Matematik dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir. Ini agak gila,”

Malaysia Asia's Got Talent
Sumber: Morgan Awyong

NAMA dan Yaashwin bakal membawa segunung harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat nama negara harum di persada antarabangsa kerana pertama kali wakil Malaysia melayakkan diri di peringkat akhir.

Mereka bakal berentap dengan lima peserta lain iaitu Siti Saniyah dari Indonesia, Shadow Ace dan Junior Good Vibes dari Filipina serta Maniac Family dan Eric Chien dari Taiwan.

Juara AGT bakal membawa pulang wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM407,500). Pusingan akhir musim ketiga AGT dan keputusannya bakal bersiaran pada 4 April ini di saluran AXN HD (Astro 721) dan AXN (Astro 701) bermula jam 8.30 malam.

Para peminat juga boleh membuat undian buat peserta yang digemari di laman web rasmi atau Facebook rasmi AGT3 selepas pesembahan berlangsung.

Ayuh, sama-sama memberi sokongan padu kepada wakil tanah air kita!

Sumber: Kosmo