
Nak Mudahkan Urusan Harian, Doktor Di Rusia Ini Tanam Pelbagai Cip Dalam Tangan
Seorang doktor dari Rusia memiliki beberapa cip yang mempunyai fungsi berbeza yang ditanam di dalam kulit tangannya.
Alexander Volchek merupakan seorang pakar obstetrik dan genekologi melakukan sedemikian dengan harapan ia dapat membantunya memudahkan urusan dan tugasan harian.
Digelar Doktor Cip, Alexander tidak perlu membawa kad bank apabila hendak mengeluarkan wang di mesin ATM dan hanya menghalakan tangannya sahaja ke pintu masuk hospital.
“Saya menanam 5 cip di tangan saya. Untuk masuk pejabat saya guna jari tengah. Ia sangat mudah digunakan.
“Cip kad bank pula di pergelangan tangan kiri. Di pergelangan tangan kanan, cip untuk menguji sistem pengangkutan,” katanya kepada RT News.
Katanya, beliau sudah pun mula menanam bendasing pada bawah kulit sejak dari 2014 lagi selepas mempelajari mengenai teknik itu hampir sedekad yang lalu menerusi satu terbitan artikel.
Beliau juga mendapat tahu bahawa implan berkenaan sudah pun digunakan oleh perubatan veterinar pada pertengahan 2000 dan berminat untuk menggunakannya pada diri sendiri.
Kisah Alexander mula diketahui ramai menerusi media Rusia pada 2017 selepas beliau menanam beberapa cip kecil pada tangannya. Antara cip yang ditanam adalah cip yang menggantikan kad sebagai akses keluar dan masuk hospitalnya.
Cip lain pula menyimpan maklumat kenalannya yang membolehkan dia berkongsi butiran itu terus ke telefon pintar menggunakan sambungan komunikasi medan dekat (NFC).
Melaluinya, Alexander menyimpan semua kata laluannya tanpa melakukan sebarang proses penyulitan (encryption).
Selain dirinya, beliau turut menjalankan implan cip kecil kepada lebih 200 individu lain termasuklah juga kepada isterinya.
Satu hal yang beliau menyesal setakat ini, teknologi tersebut tidak berkembang pantas. Empat tahun lalu, beliau menyatakan minat untuk bereksperimen dengan cip perubatan, seperti glukometer yang dapat diimplan untuk mengukur gula dalam darah, tetapi alat seperti itu belum tersedia.
Teknologi penanaman implan berbentuk mikro cip ke dalam tubuh manusia bukanlah satu teknologi baharu.
Penanaman implan mikro cip pertama telah berlaku pada tahun 1998. Seorang saintis British, Dr Mark Gasson, menjadi orang pertama menerima cip RFID di tangan kirinya. Implan tersebut membolehkannya berkomunikasi dengan suis lampu dan pintu di rumahnya.
Namun begitu, pada tahun 2010 pasukan pengkaji Dr Gasson telah mendapati bahawa implan cip dalam tubuh manusia boleh dijangkiti virus komputer secara wireless.
Ini menyebabkan saintis amat berhati-hati dalam penanaman implan mikro cip ke dalam tubuh manusia kerana ia boleh disalahgunakan.
Sumber: Oddity Central, Ini Sains Beb