
Nadiem Makarim, Letak Jawatan CEO Gojek Untuk Sertai Kabinet
Pengasas bersama firma e-panggilan perkhidmatan teksi motosikal Gojek, Nadiem Makarim telah meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif (CEO) selepas menerima menerima tawaran menganggotai barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Syarikat e-panggilan dan bayaran itu berkata, dua pegawai kanan akan bersama-sama mengambil alih operasi syarikat bernilai AS$10 bilion (RM41.85 bilion) itu.
Presiden Gojek, Andre Soelistyo, dan pengasas bersama Kevin Aluwi, akan menjadi CEO baharu syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta itu
Pelantikan Nadiem dalam kabinet sejajar dengan keutamaan Jokowi untuk memasukkan golongan profesional dan milenia dalam penggal pemerintahan keduanya.
Jawatannya akan diumumkan Jokowi pada minggu ini juga, menurut Nadiem selepas keluar dari Istana Presiden. Media Indonesia mengaitkan Nadiem kepada jawatan mungkin Kementerian Baharu Ekonomi Digital atau Pendidikan.

Langkah itu berlaku apabila Gojek meningkatkan usaha pengembangan di rantau ini. Nadiem memulakan Gojek pada 2010 sebagai pusat panggilan menguruskan kurier di ibu kota ini.
Pada peringkat awal, segala-galanya dilakukan secara manual, pekerja menelefon penunggang motosikal seorang demi seorang sehingga seseorang menerima pesanan dan Nadiem perlu bekerja di syarikat lain bagi mengekalkan Gojek.
Hanya pada 2014, Nadiem memutuskan untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih dengan sokongan daripada pelabur ekuiti persendirian, Northstar Group. Apabila diperkenalkan pada Januari 2015, perkhidmatan itu amat popular sehingga Gojek tidak dapat memenuhi permintaan, katanya dalam wawancara pada 2016.
Gojek pada hari ini memiliki lebih dua juta pemandu dan 400,000 peniaga, sementara aplikasinya dimuat turun lebih 155 juta kali di Asia Tenggara.
Antara pelabur Gojek ialah Google, JD.com dan Tencent Holdings dan dilihat sebagai ikon untuk usahawan Indonesia meningkat naik.
Kejayaan Gojek menjadikan Nadiem antara orang terkaya di Indonesia. Berdasarkan laporan Globe Asia pada pertengahan tahun lepas, beliau dilaporkan bernilai AS$100 juta, menjadikan beliau dikedudukan ke-150 dalam senarai orang terkaya di Indonesia.
Sumber: Bloomberg