
Myvi BUKAN Lagi ‘King’ Sebenar, Lelaki Ini Cuba Terangkan Kenapa Kini Ada Yang Lebih Layak Mendapat Gelaran Itu
Kereta Perodua Myvi yang digelar sebagai ‘King of Highway’ atau ‘King of the Road’ di Malaysia, memang sering mencetus perbualan hangat di media sosial dan menjadi tajuk berita di akhbar.
Kereta yang diberi gelaran manja ‘King’ ini didapati cukup luarbiasa dari segi pencapaiannya yang seolah-olah tidak pernah terbatas.
Walaupun kebanyakannya negatif, ada saja kejutan yang dibawakan olehnya seperti memiliki kekebalan dan kelajuan luar biasa.
Myvi juga sebelum ini dilihat berupaya untuk menggulingkan kenderaan yang jauh lebih besar darinya seperti kereta pacuan empat roda, lori mahupun ambulans.
Ia juga pernah dibuktikan sebagai mampu ‘terbang’, turun tangga, menyeludup barang melebihi 1000kg serta menyusuri air banjir dengan tenang.
Pernah juga dilihat di lebuh raya, Myvi dengan selambanya mampu memberi saingan dan bergerak seiringan dengan kereta berprestasi tinggi seperti Honda Civic, Nissan Skyline GT-R mahupun Lamborghini Aventador!
Walaupun bukan semua, ramai yang gerun dan mempersoalkan sikap pemandu Myvi yang kebanyakannya dilihat sebagai kurang bertanggungjawab, sering membahayakan nyawa orang lain serta tidak menghormati undang-undang.
Namun, Mohamad Jamalee melalui akaun Facebooknya telah memberikan pendapat yang berbeza kerana di jalan raya Malaysia ketika ini, yang lebih ‘berkuasa’ sekarang ialah penunggang motor.
Adakah Myvi kini tidak lagi layak digelar sebagai ‘King’?

Baru lepas kena tunjuk jari tengah dengan seorang penunggang motor kerana mengelak lubang.
Antara perkara yang Malaysia perlu kaji, didik dan kuatkuasakan ialah undang-undang berkenaan ‘whitelining’ atau ‘lane splitting’ ni. ‘Whitelining’ atau ‘lane splitting’ ialah keadaan di mana penunggang motor menggunakan jalan di atas garisan putih untuk maju ke depan.
3 minggu lepas, di depan mata kepala sendiri, berlaku kemalangan kerana ‘whitelining’ ni. Kemalangan di antara motor dengan treler.
Ia berlaku di jalan kampung 2 lorong yang sempit. Trafik ketika itu ‘slow moving’. Si penunggang nak juga ‘whitelining’ untuk memotong treler, gagal kawal motor dan ‘handle’ motosikal langgar tayar belakang treler.
Ya, motor tu yang langgar tayar belakang treler.
Penunggang dan pembonceng tergolek atas jalan dan treler jalan dan lenyek motor mereka. Brader-brader yang berada di kedai makan seberang jalan bingkas bangun dan memaki pemandu treler, panggil turun dan ajak gaduh.
Ingat lagi muka seorang brader tu, dengan bengis menjerit;
“Woi! Berani kau langgar anak orang! Lepas tu nak blah macam tu je!”
Kerana betul-betul jadi depan saya, saya berhentikan kenderaan dan kata kepada brader tu yang bukan salah pemandu treler. Motor ni yang nak juga menyelit di jalan sempit, kemudian gagal kawal kenderaan dan dia yang langgar tayar belakang treler.
Pemandu treler tak tau apa dan tak perasan pun.
Kesian uncle pemandu treler tu. Terpinga-pinga dia. Dah lah dikelilingi 10-15 orang yang tengah berang dan genggam penumbuk.
Apa pun inilah masalahnya ‘whitelining’ di Malaysia bila bendanya kita selalu buat hari-hari, tapi kesedaran tentang bagaimana nak guna, dalam situasi apa boleh guna, di mana boleh guna, undang-undang untuk gunakan dan sebagainya tidak dididik dan dikuatkuasakan.
Hasilnya penunggang motor, merasakan jalan garisan putih itu hak mereka dan boleh gunakan sesuka hati walaupun pada jalan sempit, jalan kampung yang berbahaya untuk memotong, jalan yang penuh lubang dan kebarangkalian untuk kereta mengelak lubang masuk ke jalan garisan putih itu tinggi.
Hasilnya, dapatlah jari tengah dari seorang penunggang tadi.
Secara peribadi, saya merasakan ‘whitelining’ yang selamat adalah ketika jalan jem atau trafik bergerak perlahan, di hentian lampu isyarat dan di atas jalan lebih 2 lorong di mana kenderaan kiri dan kanan bergerak ke arah yang sama.
Tak sesuai untuk keadaan di mana kereta bergerak laju, apatah lagi di jalan kampung 2 lorong di mana kenderaan kiri dan kanan bergerak pada arah tak sama.
Kalau anda rasa MyVi adalah ‘King’ atas jalanraya di Malaysia, maka saya kata anda salah. ‘King’ sebenar atas jalan raya di Malaysia adalah motor.
Undang-undang lampu isyarat tidak terpakai atas mereka.
Kalau berlaku kemalangan yang pastinya ramai akan berat salah kenderaan besar lain walhal kalau dari aspek penglihatan yang tidak terhalang dan luas, penunggang motor lebih berkelebihan berbanding pemandu di dalam kenderaan.
Silap kenderaan berbumbung atau silap penunggang motor tolak tepi, yang penting pakej jari tengah, maki hamun dan tendang cermin sisi adalah hak penunggang motor.
Ini baru betul ‘King’.
Sumber: Mohamad Jamalee
Trending now



