
MYAirline Dapat Sambutan, Laluan Baharu Ke Kota Bharu, P. Pinang & Sibu Diperkenalkan
Selepas tiga destinasi penerbangannya sebelum ini ke Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi mendapat sambutan, syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) kini memperkenalkan tiga lagi destinasi penerbangan baharu.
Tiga laluan baharu yang dilancarkan tersebut ialah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Pulau Pinang dan Sibu, Sarawak dengan tawaran tiket serendah RM49 dan RM89.
Tambang yang bernilai serendah RM49 adalah bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Pulau Pinang, manakala ke Sibu pula ditawarkan pada harga RM89.
MYAirline akan mula mengendalikan penerbangan dua kali sehari ke Kota Bharu mulai 10 Disember 2022 ini.
Untuk penerbangan sekali sehari ke Pulau Pinang pula akan bermula pada 23 Disember 2022 manakala penerbangan dua kali sehari ke Sibu pada 18 Januari 2023.
Kesemua penerbangan ini akan berlepas dari hab klia2.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo, syarikat itu akan terus menambah destinasi baharu sambil mengembangkan rangkaian laluan domestik mereka.
“Maklum balas mengenai perkhidmatan peneraju kelas kami adalah positif. Dengan lebih banyak laluan domestik, kami meneruskan misi untuk membawa lebih banyak pilihan yang berdaya maju untuk pengembara kami,” jelasnya.
Untuk tempahan tiket, orang ramai boleh mengunjungi laman web www.myairline.my.
Tempahan bermula 5 hingga 11 Disember 2022 bagi tempoh kempen dari 10 Disember 2022 hingga 25 Mac 2023.
BACA: MYAirline – Pesaing Terkini Syarikat Penerbangan Tambang Murah Di Malaysia Bakal Dilancar
Sumber: Utusan Malaysia