
Mutu Pengadilan Liga M Jadi Perhatian Antarabangsa, VAR Mungkin Akan Diperkenalkan?
Aksi perlawanan Liga Malaysia (Liga M) di antara Selangor FC dan JDT baru-baru ini yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 turut mendapat perhatian media antarabangsa BBC Sports yang mempersoalkan keputusan pengadil perlawanan terbabit memberikan sepakan penalti.
BBC Sports turut menyarankan agar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memperkenalkan sistem Video Assistant Referee (VAR) untuk masa akan datang.
Pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria yang menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada malam itu juga turut mendapat aduan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.
Namun, aduan tersebut seolah-olah tidak diendahkan apabila Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa keputusan Zulkarnain memberikan sepakan penalti kepada JDT pada Sabtu lalu adalah tepat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM yang ditemui oleh Majoriti walau bagaimanapun berpendapat, VAR bukanlah satu-satunya jawapan kepada masalah mutu pengadilan yang dihadapi oleh Liga M sekarang ini.
“Umum mengetahui bahawa kos untuk memasang sistem VAR itu sangat tinggi dan sukar bagi FAM atau MFL untuk menyediakan kemudahan tersebut di semua venue perlawanan. Lagipun, dengan adanya VAR pun tidak akan menjamin semua orang akan berpuas hati dengan keputusan pengadil,” jelas Datuk Dr Pekan Ramli ketika diminta untuk mengulas mengenai saranan BBC Sports tersebut.
“Sekiranya teruk, gantungkan sahaja. Tetapi, di samping kita mengharapkan perubahan kepada mutu pengadilan, kita juga perlu memahami situasi FAM dan MFL yang tidak mampu untuk menyediakan VAR.
“Sebagai contoh di Liga Perdana Inggeris (EPL) sekarang ini pun ada isu berkenaan dengan pengadilan. Di sana mereka salahkan pengadil VAR dan mempertikaikan keputusan yang diambil. Oleh itu, VAR tidak akan mampu membuatkan sesuatu perlawanan itu ‘bersih’ tanpa sebarang rungutan,” tambah beliau lagi.
BACA: Tempoh Karier Tak Panjang Antara Punca Pemain Bola Sepak Sering Berhijrah Kelab
Sumber: Majoriti