Murid

Murid Tahap 1 Hilang Minat, Tak Seronok Belajar Sebab Kena Hadap 10 Mata Pelajaran?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek digesa agar mengembalikan keseronokan pembelajaran murid Tahap 1 sebagai usaha awal untuk memperbetulkan sistem pendidikan negara.

Ini disebabkan, ketika ini murid Tahun 1 hingga 3 dibebani sehingga 10 mata pelajaran selain Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang sangat padat.

Cadangan tersebut disuarakan oleh Othman Talib dari Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui laporan yang ditulis oleh wartawan Zeanaaima Mohd Yusof yang dipetik dari FMT.

Menurut beliau, sistem itu diperkenalkan dengan alasan keperluan masa depan namun sebaliknya berlaku apabila kanak-kanak kehilangan semangat untuk belajar.

Ini berbeza dengan keadaan di luar negara seperti Singapura yang murid Tahap 1 hanya mengikuti tujuh mata pelajaran manakala lima di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) serta hanya empat di Finland.

“Ini tak, kita nak bawa semua sekali. Contohnya murid Tahap 1, pelajar cuma perlu tahu campur, tolak, darab, bahagi dan mungkin sedikit pecahan dan perpuluhan.

“Itu sahaja. Bundar, tukar perpuluhan, mereka akan menguasainya selepas mencapai satu kematangan. Ini sebenarnya cantik sebab kita tak ada UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah),” jelasnya.

Menurutnya lagi, Menteri Pendidikan baharu tersebut harus menyedari keluhan guru terhadap kelemahan sistem pendidikan negara sebenarnya bermula dari Tahap 1 yang harus diperbetulkan.

“Kanak-kanak kita tahu, di mana pun mereka berada, dalam situasi apapun sekolah tersebut, mereka perlu belajar dan bermain. Sama ada di sekolah berhawa dingin, sekolah kampung atau sekolah terbuka…elemen itu mesti ada.

“Kalau kita minta anak-anak Tahun 1 belajar 10 mata pelajaran dengan DSKP padat yang kononnya untuk keperluan masa depan, akhirnya mereka ini hilang fitrah belajar,” tambahnya lagi.

Beliau yang sering menekankan aspek keseronokan dalam pembelajaran sebelum ini pernah mempersoalkan kewajaran memasukkan tajuk insurans dan takaful dalam buku teks Matematik murid Tahun 6 yang menjadi “indikator” sukatan pembelajaran semakin berat.

Beliau turut menyambut baik pemansuhan UPSR yang disifatkan oleh beliau sebagai berupaya memberi ruang kepada guru agar lebih kreatif.

Namun, keadaan berubah apabila Kementerian Pendidikan mengarahkan murid untuk dinilai mengikut tahap penguasaan (TP) menerusi sistem pentaksiran bilik darjah (PBD).

“Kita ada fail (TP) sama untuk satu Malaysia yang saya rasa tidak lagi sesuai kerana pendidikan bersikap fleksibel, anak kita sendiri seramai empat orang pun, tak sama cara pendekatannya, inikan pula 40 orang dalam satu kelas.

“Dengan kelas padat, guru kadang-kadang tak habis lagi mengajar ada guru lain tunggu di tepi pintu nak masuk (mengajar). Jadi, dalam situasi itu anak-anak berasa tertekan. Kita menyukarkan pembelajaran. Kenapa tak mudahkan?,” soal beliau.

Murid

BACA: Ramai Terkejut Tengok Silibus Budak Darjah 1, Ustazah Sendiri Pun ‘Surrender’

Sumber: FMT