Pelitup Muka Murid Kotor

Murid Sekolah Pakai Pelitup Muka Kotor, Tali Siap Berjahit Bukti Bukan Semua Keluarga Mampu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Murid Sekolah Pakai Pelitup Muka Kotor

Sebagaimana yang diketahui umum, pemakaian pelitup muka sudah mula diwajibkan di seluruh negara sejak 1 Ogos lalu ketika berada di tempat awam yang sesak dan ruang ruang tertutup yang bercampur ramai orang.

Memandangkan penggunaan pelitup muka menjadi kebiasaan baharu yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, ia sedikit sebanyak agak membebankan golongan berpendapatan rendah kerana perlu melaburkan kewangan mereka yang ketika ini hanyalah sekadar cukup makan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pelajar turut memakai pelitup muka ketika sesi persekolahan sejak ia dibuka semula pada Julai lalu.

Bagaimanapun, perkongsian seorang guru di Twitter mengenai pelitup muka salah seorang anak muridnya mendapat perhatian netizen kerana kelihatan cukup daif.

Pelitup muka tersebut bukan sahaja tercemar, malah tali pada pelitup muka itu juga telah dijahit semula menggunakan benang hitam.

Beliau yang dikenali sebagai Cikgu Fazri menceritakan untuk membincangkan tentang pemakaian pelitup muka di kawasan sesak dengan anak muridnya.

Namun, beliau terkesima dan sebak selepas melihat salah seorang anak muridnya memakai pelitup muka yang bukan sahaja terang-benderang tercemar, malah talinya dijahit semula menggunakan benang.

Ia menandakan pelitup muka tersebut telah pun dipakai berulang kali oleh murid berkenaan.

Insiden tersebut membuatkan beliau turut bertanyakan kepada murid-murid lain dan segelintir daripada mereka akui telah berulang kali pakai selama dua hingga tiga hari sebelum ditukar baharu.

Beliau sudah pun menukar pelitup muka baharu dan sentiasa bersedia memberikan secara percuma kepada murid yang tidak berkemampuan di dalam kelasnya.

Menurut mStar, Fazri merupakan guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan, Sabah dan anak muridnya daripada pendidikan khas tahun enam.

Fazri juga mengajak guru-guru lain cakna untuk memeriksa pemakaian pelitup muka dengan lebih kerap selepas ini untuk memastikan kebersihan dan keselesaan dalam kalangan pelajar.

Pelitup Muka Murid Kotor
Sumber: Sabah Post

“Sebab pelitup muka dah jadi barang keperluan. Bagi yang berduit, mungkin tiada masalah.

“Tapi ada insan lain yang kesempitan, ada yang kehilangan kerja waktu PKP dan sebagainya,” ujarnya kepada mStar.

KPM tak wajibkan pemakaian pelitup muka bagi pelajar di sekolah

Dalam pada itu, KPM tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi pelajar sekolah namun digalakkan berbuat demikian. Kerajaan juga bercadang untuk menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan di bawah RM1.20 seunit.

Kerajaan sebelum ini memutuskan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 bermula 15 Ogos ini berbanding RM1.50 sebelum ini.

Malah, harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

BACA: Hong Kong Sediakan Mesin Layan Diri Pelitup Muka Percuma Kepada Golongan Pendapatan Rendah