Mural Tular Wajah Barisan Wira Negara Jadi Mangsa Vandalisme

Mural Wira Negara Mangsa Vandalisme

Lukisan mural yang memaparkan wajah-wajah barisan wira negara yang sebelum ini tular di media sosial kini dilihat telah menjadi mangsa vandalisme oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

Dinding sebuah bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam yang asalnya hanya dipenuhi dengan contengan vandalisme, telah dimurnikan menjadi ‘pameran’ mural gergasi memaparkan wajah antaranya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter @MrJamesLabu, lukisan mural itu telah dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Mural tersebut telah diconteng dengan cat berwarna merah, malah terdapat perkataan kesat termasuk pada wajah YDPA yang secara jelas telah melanggar undang-undang negara.

Mural Wira Negara Mangsa Vandalisme

Ditutup untuk tatapan umum

Menurut pengguna Twitter tersebut, dia mengesahkan pihak polis bersama media dan pelukis mural telah berada di tempat kejadian.

Difahamkan, laporan polis juga telah dibuat dan kini siasatan sedang dijalankna bagi menangkap pelaku yang tidak bertanggungjawab. Lukisan mural itu juga telah ditutup untuk tatapan umum.

Netizen menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dengan aktiviti tidak bermoral itu kerana mural berkenaan menjadi simbolik sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin negara yang tidak menang tangan untuk mengekang wabak COVID-19.

Aktiviti tidak bermoral menconteng wajah pemimpin negara ini bukanlah kali pertama berlaku. Lukisan mural bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada dinding sebuah bangunan di Alor Setar turut menjadi mangsa vandalisme pada 2016.