
“Mungkin Ada Hikmah Besar Disebaliknya”, Azizulhasni Titip Kata Nasihat Kepada Ziyad
Azizulhasni Titip Kata Nasihat Kepada Ziyad.
Impian rakyat Malaysia untuk melihat atlet lontar peluru kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli membawa pulang pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila kemenangan tersebut dibatalkan.
Melihat kepada isu tersebut, Datuk Azizulhasni Awang memuat naik hantaran di laman sosialnya mengucapkan tahniah dan berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini.
Beliau mengatakan memang faham benar perasaan ditarik pingat emas kerana pernah merasainya ketika beraksi di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.
“Memang sudah di atas kertas yang Ziyad adalah juara malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.
“Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini, sudah tentu ianya bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima.
“Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah di tarik kemenangan pingat Emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu,” katanya.
Ujarnya lagi, banyak perkara diluar jangkaan boleh berlaku dalam dunia sukan yang mana kesilapan-kesilapan sama ada datang dari diri sendiri, pihak lawan mahupun pengadil.
Sebagai rakan atlet, beliau menasihati agar Ziyad tidak berputus asa dan terus mengorak langkah.
Dalam pada itu, beliau juga berharap bantahan dari pihak Malaysia akan diterima yang mana rayuan selanjutnya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.
Ziyad yang beraksi dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) terlebih dahulu mengesahkan pingat emas apabila membuat lontaran sejauh 17.94 meter (m).
Lontaran itu juga menyaksikan Ziyad memecahkan rekod dunia, mengatasi catatan terdahulu iaitu 17.29m yang dirakamnya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.
Bagaimanapun, kemenangan atlet berusia 31 tahun itu ‘diragut’ apabila mendapat protes selepas didakwa melakukan kesalahan lewat masuk ke callroom (bilik menunggu) sebelum pertandingan dimulakan.
Protes itu membolehkan Ukraine merangkul pingat emas dan perak, masing-masing menerusi Maksym Koval dengan catatan 17.34m dan Oleksandr Yarovyi (17.30m).
Susulan protes tersebut, Ziyad tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia menerusi hantaran di laman sosial Instagram pagi tadi.
“Maafkan saya. Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya.
Keputusan penarikan semula Emas 🥇 Ziyad kekal & rayuan kita ditolak. 😭 Keputusan yang bukan diinginkan tapi harap Ziyad kuat. Walau apa pun terjadi, Ziyad tetap JUARA di hati rakyat #MAS! 💪 #Athletics #Paralympics #Tokyo2020 #KamiLuarBiasa #unifiedMalaysians #DemiMalaysia https://t.co/498UFLT9ja
— Team Malaysia (@TeamMsia) September 1, 2021