
Mula Belajar Menjahit Pada Usia 5 Tahun, Nur Afia Kini Mampu Siapkan 130 PPE Untuk ‘Frontliners’
Nur Afia siapkan PPE untuk ‘frontliners’
Pada usia sembilan tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri, sudah memahami ada tanggungjawab yang perlu sama digalas ketika negara berhadapan perang melawan COVID-19.
Jadi ketika mendengar sebuah hospital mencari orang untuk menjahit pakaian perlindungan diri (PPE), dia segera menawarkan diri. Bagi kanak-kanak seusianya, kerja rumah adalah tanggungjawab yang perlu disiapkan tetapi Nur Afia ada ‘kerja rumah tambahan’ yang perlu dibuat iaitu menjahit PPE untuk petugas barisan hadapan (frontliners).
Nur Afia yang belajar menjahit pada usia 5 tahun, mampu menghasilkan 4 gaun PPE sehari, tekun menjahit di antara waktu bermain dan menghadiri kelas dalam talian ketika sekolah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.
Sejak awal Mac, Nur Afia menghasilkan 130 gaun PPE untuk 2 hospital berhampiran. Lebih 60 pasang sedang disiapkan, walaupun bulan ini lebih mencabar berikutan Nur Afia perlu berpuasa sepanjang Ramadan.
Namun, berpuasa tidak menghalang kanak-kanak itu, dia sering mula menjahit selepas sahur. Nur Afia mula menunjukkan minat menjahit selepas melihat ibunya Hasnah Hud, seorang tukang jahit, menghasilkan pakaian menerusi perniagaan yang dijalankan dari rumah.
Apabila kemahiran Nur Afia meningkat, dia mula memperoleh wang sendiri dengan menjahit sarung bantal dan menampal pakaian koyak untuk jiran dan saudara-mara.
Ibunya berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu menawarkan diri untuk berbuat demikian selepas diberitahu tentang pasukan perubatan negara termasuk di HTAN memerlukan PPE yang banyak dan bekalannya semakin berkurangan.
“Apabila saya ceritakan pada Afia tentang hasrat saya untuk menjahit PPE, dia pun turut sama teruja mahu membantu.
“Malah, semua PPE yang kami hasilkan sehingga kini dijahit sendiri oleh Afia. Saya cuma bantu kemaskan di bahagian leher sahaja,” kata Hasnah.
Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah ini mengambil masa kira-kira sejam untuk menyiapkan sepasang PPE. Kisah Nur Afia membantu menyiapkan PPE ini turut mendapat perhatian media antarabangsa.
Nur Afia juga lebih bersemangat selepas melihat gambar petugas kesihatan memakai gaun yang dihasilkannya.
Trending now



