Muka Dan Nama Pesalah Rasuah Malaysia Ditayang Satu Dunia

Muka Pesalah Rasuah Malaysia Ditayang

Muka Dan Nama Pesalah Rasuah Malaysia Ditayang Satu Dunia.

Rasuah bukan masalah baharu di negara kita. Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa, golongan yang memberi dan menerima rasuah ini tidak pernah serik.

Di Malaysia, masalah rasuah di agensi kerajaan dan dalam kalangan penjawat awam acap kali disiarkan dalam media massa, sama ada media elektronik atau media cetak (khususnya kes tangkapan, sebutan kes dan perbicaraan kes rasuah).

Pelbagai langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan orang ramai memahami keburukan gejala rasuah. Terbaru, SPRM menyenaraikan data pesalah rasuah di laman sesawang mereka.

Tindakan ini dilihat membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk melakukannya apabila Pangkalan Data Pesalah Rasuah boleh dilayari sesiapa sahaja di portal rasmi SPRM.

Antara yang menjadi paparan muka pertama bahagian statistik data pesalah rasuah di laman SPRM itu ialah nama dan muka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Maklumat yang turut dipaparkan termasuk nombor kad pengenalan, nombor kes dan label jika sedang dirayu serta perincian kes.

Laman web itu memaklumkan, objektif utama pangkalan data pesalah rasuah adalah untuk menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa perang telah diisytiharkan terhadap rasuah.

Muka Pesalah Rasuah Malaysia Ditayang
Sumber: BH

Data tersebut juga sebagai alat kesedaran bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.

Turut dinyatakan, data pesalah itu sebagai pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Maklumat mengenai mereka dan kesalahan yang dilakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM.

Bercakap tentang memberi kesedaran orang ramai tentang gejalan rasuah, kerajaan juga akan memperkenalkan elemen antirasuah melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi murid tahun 5 bermula tahun hadapan.

BACA: Elemen Antirasuah Diperkenal Dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Mulai Tahun Depan

Sumber: SPRM