
Muhyiddin Yassin Dilantik Pengerusi Khazanah Nasional
Khazanah Nasional Berhad petang tadi telah mengumumkan pelantikan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi baharu mereka berkuat kuasa serta merta.
Kementerian Kewangan Malaysia juga turut mengumumkan pelantikan dua lagi ahli Lembaga Pengarah baharu Khazanah Nasional iaitu Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Datuk Mohammed Azlan Hashim.
Khazanah Nasional dilaporkan menyambut baik pelantikan yang telah berlaku dan akan terus bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah yang baru dibentuk semula untuk terus memenuhi mandatnya sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia.
Khazanah Nasional juga ingin mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah, berkuatkuasa 25 Mac 2020. Mereka juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Dr Mahathir atas kepimpinan, bimbingan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengerusi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dengan perkenaan Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selepas pertikaian yang berlaku kepada politik tanah air. Beliau dilantik memegang jawatan ini pada 29 Februari dan mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertuan Agong pada 1 Mac 2020.
Ketika tempoh lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, negara sedang dilanda kemelut politik, ekonomi dan kesihatan. Wabak coronavirus yang dikenali sebagai COVID-19 telah melanda negara dengan erekodkan pertambahan kes sebanyak 142 orang menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 adalah seramai 2,908 orang. Kematian akibat daripada penyakit ini meningkat seramai 2 orang menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian daripada wabak ini adalah seramai 45 orang.
Ini menyebabkan kerajaan Malaysia telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April. 3 kawasan telah dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) iaitu di Simpang Renggam, Hulu Langat dan Menara City One, Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian
Trending now



