
Mufti Wilayah Teruja Terima Cenderahati Jersi Liverpool
Sudah menjadi kebiasaan para agamawan termasuk mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerima cenderahati atau buah tangan daripada pasangan yang membawa bayi mereka untuk ditahnik.
Namun, beliau pada kali ini menerima kejutan selepas diberikan sehelai jersi pasukan kegemarannya, Liverpool sebagai cenderahati. Jersi merah dengan julukan The Reds itu dihadiahkan oleh sepasang suami isteri yang hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya membawa bayi mereka untuk ditahnik oleh Dr. Zulkifli.

Tahnik ialah perbuatan mengunyah tamar atau selainnya yang manis kemudian disapukan sedikit ke lelangit bayi dan merupakan sunnah Rasulullah SAW untuk bayi yang baru lahir.
“Kebiasaannya, pasangan yang datang membawa bayi mereka untuk ditahnik akan membawa cenderahati untuk pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
“Cuma, cenderahati kali ini agak unik dan cukup sesuai dengan jiwa saya. Terima kasih ya!” tulisnya yang turut meletakkan tanda pagar LFC, Liverpool dan Kopites di akaun Twitter rasmi beliau.
Kebiasaannya, pasangan yang datang membawa bayi mereka untuk ditahnik akan membawa cenderahati untuk Pejabat Mufti WP. Cuma, cenderahati kali ini agak unik dan cukup sesuai dengan jiwa saya. Terima kasih ya!#LFC #Liverpool #Kopites pic.twitter.com/5xiXIylJTL
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) October 24, 2019
Umum mengetahui bahawa Mufti Wilayah Persekutuan sememangya minatnya kepada Liverpool. Malah, pemain muslim berasal dari benua Afrika, Mohamed Salah dan Sadio Mane menjadi pemain idola beliau.
Hantaran itu diulang siar lebih 1,000 kali di Twitter setakat ini, hantaran yang turut dimuat naik ke Facebook mengundang reaksi netizen khususnya penyokong Liverpool. Turut memberi reaksi dengan hantaran itu, Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mana baginda turut berkenan menghadiahkan jersi pasukan bola kepada Dr. Zulkifli.
Dr. Zulkifli membalas ciapan dengan memberitahu bahawa beliau minat pasukan Liverpool dan Brazil. Namun, turut berbesar hati menerima apa jua kurniaan baginda.
Ampun Tuanku. Junjung kasih kesudian mencemar duli ke ciapan patik & ingin tahu pasukan patik. Patik minat Liverpool & Brazil. Patik maklum KBDYMM Tuanku minat Arsenal dan berbesar hati menerima apa jua kurnia Tuanku seumpama jersi Arsenal, Pahang (rumpun Pantai Timur) atau JDT. https://t.co/lBhNPppF1g
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) October 24, 2019
BACA: ‘Mainlah Seperti Liverpool’ – Nasihat Mufti Wilayah Kepada Arsenal
Trending now



