
Muat Naik Status ‘Akhirat’ Jadi Petanda, Remaja Mati Lemas Selepas Selamatkan Dua Jiran
Status ‘Akhirat’ Jadi Petanda, Remaja Mati Lemas Selepas Selamatkan Dua Jiran
Seorang bapa tidak menyangka, tindakan anaknya yang sering memuat naik status berkenaan ‘akhirat’ di aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu, adalah petanda bahawa anaknya itu akan pergi buat selama-lamanya akibat kejadian lemas di sebatang sungai di Kuala Berang, pada Khamis.
Mohd Radhi Kamarudin, 41, berkata, Faris Iskandar, 19, yang juga penuntut di Kolej Penerbangan Admal itu, menunjukkan perubahan sikap dari seorang yang pendiam menjadi banyak bercakap dan bercerita.
“Apabila saya baca status yang dimuat naik arwah sebelum ini, saya merasakan ada sesuatu yang bakal berlaku, namun saya tidak ambil pusing sangat hal berkenaan kerana menganggap ia perkara biasa yang dilakukan oleh remaja seusianya.
“Arwah juga seorang yang pendiam, tetapi akhir-akhir ini dia banyak bercerita, memberi nasihat serta mengingatkan teman-temannya akan kehidupan di dunia yang singkat. Dia seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba,” katanya.
Dalam pada itu Mohd Radhi berkata, anaknya juga dilihat keberatan untuk pergi ke Sungai Kelemin semalam, namun tetap menyertai aktiviti perkelahan bersama keluarganya itu.
“Walaupun sedih dan terkilan dengan kehilangannya, tetapi saya reda. Sewaktu saya melihat jenazah arwah tadi, arwah seolah-olah sedang tidur seperti kebiasaannya di rumah,” katanya dalam keadaan sebak.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan cuba menyelamatkan dua jirannya, Mohd Thaqiff Harry Mohd Fadhil, 11, dan Mohd Fakhri Mohd Nor, 28, yang hampir lemas ketika mandi di kawasan berkenaan.
Menurut bapa mangsa, ketika dia bersama mangsa sedang berehat, mereka dapati Mohd Thaqiff Harry dan Mohd Fakhri yang sedang berenang hampir lemas.
Melihat keadaan itu, mangsa bertindak segera terjun ke sungai dan berjaya menyelamatkan Thaqiff. Mangsa kemudian terjun semula ke sungai bagi menyelamatkan Mohd Fakhri dan ketika berenang mangsa dikatakan menghadapi kesukaran sebaik tiba di tengah sungai sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu pagi tadi.
Sumber: Awani
Trending now



