Mowgli Malaysia Pegang Watak Utama Filem ‘Budok Kuba’

Awal tahun ini, seorang remaja 14 tahun menjadi bualan orang ramai yang menggelarkannya sebagai ‘budak kerbau’ setelah melihat aksi fotogeniknya bersama sekawan kerbau yang tular di laman media sosial.

Daripada lensa kamera, Mohd Syukor Khamis bakal melakukan kemunculan pertamanya di kaca televisyen dalam filem terbitan Arie Zaharie Production yang bertajuk ‘Budok Kuba’.

Budok Kuba Mowgli Malaysia

Memegang watak utama, filem ‘Budok Kuba’ tulisan Jo Sidek ini mengisahkan Amar lakonan Syukor yang sukar untuk menyesuaikan diri dengan hidup setelah berpindah dari bandar ke kampung ibunya setelah ibu dan bapanya bercerai.

Menemui ketenangan dalam kalangan kerbau dan haiwan ternakan milik datuknya, Amar mula melalui konflik selepas bapanya berubah hati akibat daripada perkahwinannya yang tidak dikurniakan cahaya mata.

Kisah yang ditulis dengan inspirasikan daripada foto Syukor oleh dua orang jurugambar iaitu Mohd Nazri Sulaiman dan Pegawai Kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, Abdullah Deen Mohd Zain pernah merangkul anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic – Image of Asia 2018┬ádan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018 di Itali.

Turut dibintangi oleh beberapa pelakon hebat tanah air hebat seperti Datuk Fizz Fairuz, Wan Hanafi Su, Emelda Rosmila, Kamaliah Md Dom dan Sarah Daud, filem ini bakal ditayangkan di Astro menerusi slot Citra Exclusive di Astro Citra dan Citra HD pada jam 9 malam 20 Julai ini.

Sumber: Astro Awani