NCIG Tutup Operasi Malaysia

Misi Henti Ketagihan Merokok Gagal, NCIG Umum Tutup Operasi Di Malaysia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Syarikat pengeluar rokok elektronik (vape) tempatan, NCIG Sdn Bhd yang beroperasi sejak Januari lalu, bakal menghentikan operasinya di negara ini dalam tempoh terdekat.

Ia berhubung tiada peraturan mengenai kandungan nikotin rokok elektronik yang dibenarkan di Malaysia. Situasi itu menyukarkan pengeluar tempatan berikutan hanya boleh memperkenalkan produk cecair rokok elektronik yang dibenarkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharifuddin Bujang berkata syarikat itu akan menumpukan pelaburan untuk pasaran luar negara yang mempunyai peraturan bagi produk rokok elektronik khususnya di Eropah dan United Kingdom (UK) selepas industri rokok elektronik tidak diregulasi lagi di negara ini.

Pasaran Malaysia menyumbang 30 peratus kepada pasaran produk NCIG dan Nasty manakala 70 peratus pasaran utamanya ialah di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.

NCIG hanya akan memasarkan variasi produk sifar nikotin daripada NCIG Total Solution untuk pasaran tempatan sebagai fasa terakhir sebelum penarikan operasi di Malaysia.

Tambahnya, buat masa ini, cecair rokok elektronik buatan Malaysia dianggap premium di pasaran antarabangsa kerana mengandungi Glycerin Sayuran (VG) berkualiti tinggi yang diperoleh daripada minyak sawit tempatan.

Sehingga kini sebanyak 100,000 tan minyak sawit tempatan digunakan dalam industri vape di Malaysia.

Malaysia ketika ini berada di tempat kedua pengeluar vape terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Mengenai regulasi pula, United Kingdom menjadi negara pertama mengawal selia penggunaan vape.

NCIG Tutup Operasi Malaysia
Sumber: Shopee Malaysia

“Selagi Malaysia tidak memperkenalkan regulasi terhadap kandungan nikotin dalam rokok elektronik, ini menjadi halangan buat kami bagi memenuhi misi utama NCIG untuk bantu lapan juta perokok di Malaysia berhenti merokok,” katanya.

Katanya lagi, produk cecair elektronik sifar nikotin bukan penyelesaian masalah untuk Malaysia kerana ia hanya akan menggalakkan lagi orang awam terutamanya yang bukan perokok mula menggunakan vape.

BACA: KKM Tegaskan Tiada Bukti Vape Selamat Digunakan Bagi Rawat Ketagihan Merokok

Sumber: Sinar Harian