
Mira Filzah Kahwin, Perhentian Bas Di Alor Gajah Jadi ‘Mangsa’
Mira Filzah Kahwin, Perhentian Bas Di Alor Gajah Jadi ‘Mangsa’.
Dengan sekali lafaz, Mira Filzah sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar, 30.
Perkahwinan pelakon popular dengan anak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menjadi trending di media sosial empat hari berturut-turut yang mana rata-rata terpesona dengan keperibadian dua mempelai ini.
Bukan sahaja perkahwinan pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan menjadi bualan hangat netizen, perhentian menunggu bas di Alor Gajah yang pernah tular awal tahun lalu kerana Mira Filzah berkongsi gambarnya ketika berada di lokasi tersebut, sekali lagi menjadi bualan ramai.
Bagaimanapun, kali ini kisah pondok bas itu dijadikan jenaka pula oleh netizen yang kononnya kecewa kerana tidak dapat memenangi hati Mira Filzah yang baru melangsungkan pernikahannya di ibu negara malam Jumaat lalu.
Pemilik Facebook (FB) Zainal Abu Bakar menulis dia berharap kerajaan negeri Melaka, khusus Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dapat menukarkan papan tanda di perhentian bas itu daripada Mira Filzah Was Here kepada Mira Filzah Is Married.
“Sedih hati ini bila terpandangkan pondok bas ini. Hati pun punah ranah.
“Setidak-tidaknya boleh tukarkan papan tanda itu kepada Wan Maimunah Was Here kerana saya pernah turunkan ibu Wan Maimunah di sini,” tulisnya.
Hantaran statusnya itu turut tular dan mendapat lebih 2,000 reaksi serta dikongsi 104 kali selain mendapat lebih 225 komen.
Perhentian bas berkenaan menjadi tular apabila Mira Filzah menerusi Instagram miliknya pada Januari tahun lalu telah berkongsi gambarnya ketika berada di situ.
BACA: Perhentian Bas ‘Mira Filzah Was Here’ Alor Gajah Jadi Trending
Disebabkan gambar yang dikongsi Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, ramai peminat mula mencari perhentian bas terbabit untuk bergambar kenangan sebagaimana dilakukan pelakon itu.
Selepas gambar tersebut tular dan menjadi perhatian ramai, kawasan menunggu bas terbabit telah dibaik pulih dan dicantikkan semula MPAG yang kemudiannya diletakkan dengan papan tanda ‘Mira Filzah Was Here’ sebagai tarikan.
Tourism Melaka menerusi laman Facebook turut berkongsi beberapa keping gambar yang menyaksikan beberapa kakitangan sedang melakukan kerja-kerja pembaikan.