Michelle Yeoh Avatar

Michelle Yeoh Bakal Membintangi Sekuel Filem Avatar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Watak aktres antarabangsa dan lagenda seni mempertahankan diri, Michelle Yeoh dalam Star Trek: Discovery dan Guardians of the Galaxy 2.0 amat mengagumkan lebih-lebih lagi dalam filem bergenre sains fiksyen.

Menurut laporan, anak kelahiran Ipoh ini akan membintangi dalam sebuah filem pecah panggung pada tahun 2009, Avatar. Beliau akan memegang watak sebagai Dr. Karina Mogue dalam sekuel Avatar.

“Sepanjang kariernya, Michelle Yeoh sentiasa mencipta watak-watak yang unik dan sukar untuk dilupakan. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Michelle untuk melakukan perkara yang sama dalam sekuel Avatar,” kata James Cameron.

Filem epik fantasi pada tahun 2009 ini meraih AS$2.8 bilion (RM10.6 bilion) di seluruh dunia. Avatar 2 bakal menyusul ke pawagam pada 18 Disember 2020. Tiga lagi sekuel dijadualkan menyusul dengan Avatar 3 pada 17 Disember 2021, Avatar 4 pada 20 Disember 2024, dan Avatar 5 pada 19 Disember 2025.

Selain filem-filem yang disebutkan di atas, Michelle Yeoh pernah membintangi filem hit seperti Memoirs of A Geisha, Tomorrow Never Dies, Crazy Rich Asians dan Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Bintang utama Avatar, Zoe Saldana dan Sam Worthington dijangka akan muncul semula untuk Avatar 2 bersama-sama Sigourney Weaver dan Stephen Lang.

Sumber: MovieWeb